73 peratus undi awal direkodkan setakat 2 petang tadi
JOHOR BAHRU, 8 Mac – Proses pengundian awal Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor menyaksikan sebanyak 73 peratus tentera, polis serta pasangan direkodkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah melaksanakan tanggungjawab mereka setakat 2 petang hari ini.
Proses pengundian awal tersebut bermula 8 pagi dan akan berakhir pada 5 petang itu melibatkan 63 pusat pengundian di seluruh Johor.
Dalam satu kenyataan, jurucakap media PRN Johor Ibu Pejabat Kontinjen Johor Supt Ibrahim Mat Som berkata secara keseluruhannya tahap keselamatan di kesemua pusat pengundian semasa proses pengundian awal berjalan dengan lancar dan aman.
Sementara kenyataan yang dikeluarkan Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia Kem Terendak di Melaka memaklumkan seramai 10,955 orang melibatkan 7,556 anggota tentera dan 3,399 pasangan mereka adalah layak untuk mengundi awal bagi PRN Johor.
Pengundian awal itu melibatkan anggota Tentera Udara Diraja Malaysia dan Tentera Laut Diraja Malaysia di 11 pusat pengundian awal bagi tentera di Johor antaranya Kem Segamat; Kem Majidee di Batu Pahat; Kem Mahkota di Kluang serta Kem Tanjung Pengelih di Kota Tinggi.
Panglima 3 Divisyen Mejar Jeneral Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim antara yang meninjau proses pengundian awal bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Senggarang di Kem Majidee, Batu Pahat.- BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.