Sorting by

×

713 PELAJAR MELAKA DAPAT TABLET PERCUMA

Masa Membaca:2 Minit, 8 Saat

AYER KEROH 16 Januari – Seramai 713 pelajar yang merupakan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 daripada 61 buah sekolah seluruh Negeri Melaka menerima manfaat pengagihan peranti tablet pada Majlis Perasmian Penyampaian Kit Peranti dan Sijil Kolaboratif Program Anak Kita Peringkat Negeri Melaka di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, peranti berupa tablet bagi kegunaan pembelajaran itu menterjemahkan keprihatinan kerajaan dalam memastikan pelajar di negeri ini mendapat pendidikan yang berkesan dan berkualiti.

Beliau berkata, usaha itu dapat membantu pelajar mengakses bahan pembelajaran dalam talian, mengikuti kursus inovasi atau aktiviti interaktif, selain turut meningkatkan kemahiran digital.

“Gajet pada masa kini dilihat sebagai satu keperluan dalam senarai peralatan kelengkapan persekolahan apabila proses pengajaran juga banyak menggunakan aplikasi Google Class Room dan WhatsApp untuk memberikan tugasan.

“Inisiatif seperti ini merupakan bukti komitmen melengkapi keperluan pelajar dengan alatan teknologi sampingan lebih-lebih lagi kepada calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) agar pelajar dapat mengakses ilmu dengan lebih mudah dan berkesan.

“Bergerak maju ke hadapan, kecanggihan dan perkembangan teknologi yang semakin pesat telah menjadi elemen penting dalam kehidupan seharian, bahkan tidak terkecuali dalam proses pembelajaran dan pengajaran yang lebih inovatif dan fleksibel,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Ketua Pengarah Unit Pantau Madani Pejabat Perdana Menteri Mohd Khalid Mohamed Latiff; Rektor Institusi Pendidikan Guru Malaysia Yang Menjalankan Tugas Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Sektor Pembangunan Profesionalisme, Dr. Mohd Azam Ahmad; Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pengurusan Sekolah yang menjalankan tugas Pengarah Pendidikan Negeri Melaka, Karim Tumin serta kenamaan lain.

Img 20250116 125119 954
SEBAHAGIAN pelajar yang menerima kit peranti sumbangan kerajaan. Foto Muhammad Rasul Azli Samad

Dalam ucapannya, Ketua Menteri turut menitipkan lima pesanan kepada pelajar antaranya memanfaatkan pemberian peranti dengan sebaiknya bagi melakar kejayaan bukan sahaja untuk diri sendiri, bahkan ibu bapa dan guru.

Selain itu, beliau turut berharap anak-anak agar bijak menggunakan teknologi sebagai sumber menambah ilmu pengetahuan, mengasah kemahiran baharu dan mencari peluang untuk menguasai teknologi seperti aplikasi Kecerdasan Buatan (AI).

“Selain itu, jangan sesekali biarkan peranti ini mengalihkan tumpuan anak-anak daripada matlamat utama, iaitu memudahkan perjalanan pembelajaran dan menjadi kunci untuk membuka pintu kejayaan pada masa hadapan.

“Seterusnya, saya berharap peranti ini meningkatkan mutu kualiti pembelajaran dan prestasi akademik yang inklusif bagi melahirkan generasi muda yang berkualiti dan berdaya saing dan besar harapan saya agar para ibu bapa dapat memberi sokongan dan bimbingan dalam memastikan penggunaan peranti ini di rumah berjalan lancar dan positif,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

330
Kongsi :
Previous post BUKA MINDA PELAJARI TEKNOLOGI DIGITAL, FAHAMI PERANAN MPJ
Next post LEBIH 153,000 MURID, PELAJAR DI MELAKA TERIMA BANTUAN AWAL PERSEKOLAHAN 2025 – KM
Ubah saiz-+=