71 peratus penduduk Melaka sudah dibanci
ALOR GAJAH 7 Mei. – Seramai 659,000 atau 71 peratus daripada anggaran 932,000 penduduk Melaka telah dibanci menerusi Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (Banci 2020) setakat 5 Mei lalu.
Timbalan Ketua Perangkawan Malaysia (Program Sosial dan Pembangunan Teknikal) Nazaria Baharudin berkata, selain itu sebanyak 264,000 atau 84 peratus daripada kediaman di tiga daerah di negeri ini juga telah dibanci.
“Operasi pembancian sedang rancak dijalankan dan setakat ini ia merekodkan 90.5 peratus di Alor Gajah, 85.3 peratus di Jasin dan 84.2 di Melaka Tengah.
“Keseluruhannya program bancian ini disasarkan tamat pada akhir bulan ini sekali gus menjadikan Melaka antara negeri terawal selesai dalam operasi Banci Malaysia 2020,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Program Turun Padang Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 di sekitar Alor Gajah hari ini.
Beliau berkata, program seperti itu mampu memantau perlaksanaan operasi pembancian dari rumah ke rumah.
“Banci Malaysia merupakan peluang yang diberikan kerajaan Malaysia setiap 10 tahun sekali kepada seluruh penduduk bagi menyatakan hasrat mereka termasuk pendidikan, kesihatan dan capaian Internet.
“Setakat ini, seramai 18 juta atau 55.1 peratus daripada 32.7 juta rakyat Malaysia sudah dibanci menerusi Banci 2020 dalam tempoh sama,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.