
70,000 GAMATKAN PANTAI TANJUNG BIDARA
TANJUNG BIDARA 16 Februari – Dianggarkan seramai 70,000 pengunjung membanjiri Pantai Tanjung Bidara, di sini, sepanjang tiga hari penganjuran Karnival Sukan Dua Jiwa Satu Hati dan Sukan Antara Badan Beruniform Piala Ketua Menteri Melaka Tahun 2025.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, sambutan luar biasa yang diterima itu, sekali gus memberi mesej jelas bahawa objektif penganjuran karnival yang menjadi ‘jambatan’ di antara rakyat dengan anggota badan beruniform berjaya direalisasikan.
Menurut beliau kejohanan sukan yang berlangsung sejak pertengahan Januari lalu itu telah disertai lebih 5,000 anggota badan beruniform di Negeri Melaka.
Jelasnya, antara yang terlibat dalam acara sukan itu adalah anggota Tentera Darat; Polis Diraja Malaysia; Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia; Jabatan Imigresen; Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia; Jabatan Kastam Diraja Malaysia; Angkatan Pertahanan Awam Malaysia; Jabatan Kesukarelawan Malaysia; Jabatan Penjara Malaysia; Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.
“Sesungguhnya, hasrat saya menganjurkan karnival ini adalah untuk mempererat silaturahim di antara semua agensi bertugas dalam penguatkuasaan undang-undang.
“Acara ini seterusnya dan menjadi jambatan atau titian dalam melestarikan ksejahteraan rakyat Melaka menerusi medium sukan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penutup Karnival Sukan Dua Jiwa Satu Hati dan Sukan Antara Badan Beruniform Piala Ketua Menteri Melaka Tahun 2025 di Pantai Tanjung Bidara, di sini, hari ini.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri.
Yang turut hadir, Panglima 3 Divisyen Mejar Jeneral Dato’ Mohamad Suria Mohamad Saad; Asisten Ketua Staf Bahagian Operasi Latihan dan Pertahanan, Markas Angkatan Tentera Malaysia, Mejar Jeneral Datuk Indera Zahari Mohd Ariffin; Asisten Ketua Staf Operasi dan Latihan Tentera Darat Mejar Jeneral Dato’ Rashidin Hashimi Ab Rashid; Panglima-Panglima Formasi; Pegawai-Pegawai Kanan serta ketua-ketua jabatan dan agensi.
Menurut Ab Rauf, karnival julung kali diadakan itu bukan sahaja menyakikan pelbagai acara sukan dan pertunjukan menarik, bahkan turut menyediakan pameran-pameran aset yang berjaya menarik minat orang ramai.
“Pameran ini dapat menimbulkan kesedaran kepada generasi muda yang akan mewarisi urus tadbir negara pada masa akan datang dengan berpandukan rujukan sebuah kerajaan berpadu dan stabil yang telah memberi nikmat kesejahteraan dan keamanan kepada rakyat,” katanya.
KETUA Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh menyantuni peserta pada Majlis Penutup Karnival Sukan Dua Jiwa Satu Hati dan Sukan Antara Badan Beruniform Piala Ketua Menteri Melaka Tahun 2025 di Pantai Tanjung Bidara. Foto Muhammad Rasul Azli Samad
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.