70 graduan UTMSpace terima sijil profesional
AYER KEROH 29 Jan – Seramai 70 graduan Universiti Teknologi Malaysia (UTMSpace) menerima sijil profesional selepas menamatkan kursus kemahiran selama enam bulan.
Ia adalah Kursus Kerja-Kerja Pakar Hawa Dingin dan Keusahawanan dalam bidang penyaman udara bagi tahun 2021.
Pengerusi Pembangunan Sumber Manusia Berhad HRD Corp, Datuk Seri Jamil Salleh berkata pemberian sijil itu pengiktirafan buat graduan untuk terus memacu kejayaan ke peringkat lebih tinggi.
“Kursus ini pertama kali diadakan di Malaysia, graduan perlu mengikuti kursus selama enam bulan bagi mengasah kemahiran mereka.
“Diharap dengan ilmu yang diterima ini pelajar yang berjaya dapat menjalankan tugas dengan penuh integriti, disiplin dan amanah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Graduasi Kursus Kerja-Kerja Pakar Hawa Dingin & Keusahawanan Dalam Bidang Penyaman Udara Bagi Tahun 2021 di Ames Hotel di sini, hari ini.
Hadir sama Pengerusi Kolej Antarabangsa Dunia Melayu Dunia Islam merangkap Pengerusi Kumpulan DMDI, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali; Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Datuk Dr Ahmad Fauzi Ismail dan lain-lain kenamaan.
Mengulas lanjut, Jamil berkata pihaknya sedang mengkaji peluang yang ada untuk mengadakan kursus tersebut di masa akan datang.
“Kita akan lihat peluang yang ada supaya lebih ramai akan terlibat dalam kursus sebegini.
“Ini juga membolehkan kita bekerjasama dengan pelajar sekali gus meningkatkan taraf pendidikan mereka hingga ke peringkat diploma dan ijazah,” katanya lagi.
Kursus berkenaan mendapat kerjasama Kolej Antarabangsa Dunia Melayu Dunia Islam dan Sri Kenali Engineering & Services Sdn Bhd.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.