70 anak muda bakal jadi ‘jutawan baharu’ bersama Fazil Group

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

BANDARAYA MELAKA 24 Disember – Seramai 70 anak muda berpeluang bergelar jutawan baharu di bawah bimbingan Akademi Fazil Group selepas terpilih menerusi Jelajah Peluang Kerjaya Mega, sepanjang tahun ini.

Pengasasnya, Datuk Seri Mohamad Fazil Shafie berkata, kesemua 70 individu bertuah itu terpilih dalam 21 siri jelajah diadakan pihaknya termasuk sesi temu duga yang diadakan pada setiap Khamis di Wisma Datuk Seri Fazil.

“Antara peluang pekerjaan yang ditawarkan menerusi Peluang Kerjaya Mega ini antaranya adalah pengurus syarikat, pengurus pelanggan, ejen jualan emas, pemandu serta pembantu am.

“Malah sepanjang tahun ini juga kita peruntukan sejumlah RM3 juta bagi membimbing mereka yang terpilih termasuk menyediakan insentif ketika berada di bawah Akademi Fazil Group,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Peluang Kerjaya Mega Dan Minum Petang Bersama Fazil Group, di sebuah hotel di Jalan Hang Tuah, di sini, pada Sabtu.

Mohamad Fazil berkata, peluang kerjaya itu diadakan bagi membantu dan menyediakan peluang pekerjaan kepada mereka yang berpendapatan sederhana.

“Sepanjang tahun ini kira-kira 700 individu yang hadir menyertai peluang kerjaya yang dianjurkan dan kita akan terus adakan pada tahun hadapan dengan peruntukan yang lebih besar iaitu berjumlah RM4 juta.

“Dengan peruntukan ini, kita sasarkan untuk memilih seramai 200 individu bertuah dan berani untuk mengubah nasib kerana kami akan melatih mereka ini daripada kosong sehingga menjadi orang berjaya.

“Malah kita turut berhasrat untuk merealisasikan satu rumah satu perniagaan kerana perniagaan ini adalah sumber ekonomi utama,” katanya.

Tambah beliau, bersempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024), Fazil Group telah bekerjasama dengan Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) dengan menghias bot.

“Selain itu untuk tahun hadapan juga kita dalam usaha mencari lokasi strategik untuk membuka cawangan baharu kedai Emas Fazil Group,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

7195
Kongsi :
Previous post Pameran sejarah selama sebulan di Melaka
Next post TMM2024: Menara Taming Sari sasar 700,000 pengunjung
Ubah saiz-+=