
70 acara kebangsaan dan antarabangsa warnai TMM2024
BANDA HILIR 27 November – Kira-kira 70 acara kebangsaan dan antarabangsa akan dianjurkan Kerajaan Negeri bagi merancakkan sambutan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).
Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Zaidi Attan berkata, setakat ini pihaknya mengenal pasti dan sedang menyusun penganjuran acara yang bakal mewarnai sambutan TMM2024, tahun hadapan.
Menurutnya, pelbagai penganjuran termasuk program kebudayaan dan warisan dijangka akan diadakan.
“Kita sedang susun atur acara rasmi berkenaan di mana ia berstatus dunia dan kehangsaan dan ini tidak termasuk dalam senarai program di peringkat negeri.
“Susun atur itu kita akan serahkan kepada 12 agensi terlibat di negeri ini di mana kebanyakannya terlibat dengan penganjuran Pavillion TMM2024,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Pertandingan Dondang Sayang Peringkat Kebangsaan Tahun 2023 diadakan di Pekarangan Muzium Rakyat, di sini pada Ahad.
Hadir sama, Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Melaka, Yeow Chin Chai; Pengarah Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara (JKKN) Melaka, Ezlina Alias dan Pengurus Besar INSWA, Abdul Malek Bador.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.