Tumpu tujuh intipati pelan strategik Melaka – Sulaiman

Masa Membaca:2 Minit, 1 Saat

AYER KEROH 11 Jan – Tujuh polisi penting perlu menjadi garis panduan penjawat awam di negeri ini dalam memastikan segala perancangan Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya 2035 dan Belanjawan 2021 Melaka dapat dilaksanakan sepenuhnya tahun ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md. Ali berkata, perkara berkenaan perlu dilaksanakan selari aspirasi kerajaan negeri bagi memastikan segala perancangan menerima impak besar dan dirasai rakyat.

Jelasnya, perkara utama daripada tujuh intipati itu adalah memastikan segala perancangan kerajaan negeri dilaksanakan kerana tahun ini adalah tahun pelaksanaan.

“Mustahaknya tahun ini, saya mahukan segala apa yang telah kita rancang, kita mesti pastikan semuanya dilaksana, atau dalam bahasa mudahnya, ‘Get It Done’,…maksud saya, bagi jadi,…kasi jadi.

“Jadi ini adalah, segala apa polisi, inisiatif dan program yang telah kita rancang, mestilah benar-benar dilaksanakan dengan berkesan, menyentuh denyut nadi, hinggakan impak manfaatnya dirasai langsung kepada rakyat Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Amanat Tahun Baharu dan Pra Pelancaran Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya 2035 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini hari ni.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Hasim Hasan.

Sulaiman berkata, beliau juga mahu setiap penjawat awam negeri ini tekun dalam pekerjaan dengan melaksanakan segala amanah dipertanggungjawabkan sekali gus memastikan kejayaan setiap perancangan.

Katanya, intipati seterusnya adalah ‘Hari-hari Bertemu Rakyat’ iaitu memastikan setiap aduan atau permasalahan rakyat diberi perhatian dan diambil ditindakan.

“Polisi kita adalah Hari-hari Bertemu Rakyat yang bukan hanya dilakukan secara mingguan atau bulanan supaya segala permasalahan yang dibangkitkan rakyat dapat diambil perhatian dan tindakan yang sewajarnya.

“Seterusnya, saya mahukan hasil (result oriented). Di mana ia merupakan hasil dari apa yang telah kita rencanakan seperti dalam Belanjawan Melaka 2021 dengan 80 inisiatif ditawarkan kepada rakyat dan termasuk 40 titik sentuh (touch point) melibatkan rakyat secara langsung perlu dipastikan ia sampai kepada rakyat,” katanya.

Ujarnya lagi, Visi, Misi dan Pemboleh Daya (enabler) untuk Melaka seperti yang dibentangkan pada Amanat Tahun 2020, Julai lalu perlu dicapai.

“Untuk intipati keenam, saya tidak mahukan lagi sebarang alasan apabila berlaku kelewatan, ketirisan atau apa-apa jua kegagalan dalam menyampaikan perkhidmatan yang berkualiti kepada rakyat.

“Saya juga mahu setiap agensi dan anak syarikat kerajaan negeri mempunyai petunjuk prestasi utama (KPI) dan Pelan Strategik masing-masing selari dengan pelan strategik di peringkat negeri,” katanya.

Terdahulu, pada program bertemakan ‘Melakar Wajah Baharu Perkhidmatam Awam Negeri Melaka’ itu, beliau turut mengedarkan Booklet (buku kecil) berjudul ‘Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya 2035’ sebagai panduan rakyat di negeri ini.

Views:

316
Kongsi :
Previous post Gilir jaga kaunter waktu rehat demi selesai aduan rakyat: KM
Next post Khabar angin ada pelantikan jawatan TPM tidak benar – Pejabat PM
Ubah saiz-+=