660 golongan asnaf terima sumbangan Ramadan

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

AYER KEROH 12 April. – Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini perlu mengambil peluang membantu golongan asnaf bagi meringankan beban mereka yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, NGO merupakan tonggak sangat penting dalam menjalinkan kerjasama dengan kerajaan negeri untuk membantu golongan terkesan yang menghadapi situasi sukar pandemik itu terutama apabila menjelang Ramadan.

Katanya, usaha kerajaan negeri untuk membela nasib dan kebajikan rakyat tidak akan berjaya tanpa sokongan semua pihak terutama NGO.

“Saya yakin NGO mempunyai pelbagai inisiatif dalam membantu golongan asnaf dan program kebajikan sangat berkesan dalam usaha kita mendekati rakyat dari pelbagai lapisan.

“Umpama bukit sama didaki, lurah sama dituruni…, gandingan kerajaan negeri diharapkan tidak terhenti setakat ini dan perlu diteruskan sehingga negeri Melaka gah di mata dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Kebajikan Sumbangan Ramadan 2021 di kediamannya di Seri Bendahara di sini semalam.

Hadir sama, Presiden MDDNM, Datuk Wira Jahaya Mat dan Mufti Melaka Datuk Wira Abdul Halim Tawil.

Dalam pada itu mengenai program berkenaan Jahaya berkata, program penyerahan sempena Ramadan itu adalah acara tahunan sejak enam tahun lalu bagi menyantuni golongan kurang berkemampuan.

“Dalam program tahun ini, seramai 660 asnaf dikenal pasti untuk menerima sumbangan.

“Seperti dua tahun sebelum ini kita menjemput setiap penerima untuk menerima sumbangan Ramadan namun sejak negara dilanda COVID-19, kita menyerahkan sumbangan itu kepada Pegawai Daerah masing-masing dan 28 Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk diagihkan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

725
Kongsi :
Previous post Polis tahan lima remaja, sita 30 kenderaan disyaki terbabit lumba haram
Next post UniMEL bakal jadi nukleus hab pendidikan Melaka
Ubah saiz-+=