Sorting by

×

654 perumahan mampu milik dibina di Semujok

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

SERI NEGERI 10 Julai – Sebanyak 654 unit Rumah Mampu Milik (RMM) serendah RM70,000 bakal dibina di Semujok, Jasin dalam tempoh dua tahun akan datang.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pembinaan RMM itu mampu menjadi peluang besar buat rakyat di negeri ini khususnya golongan B40 untuk memiliki rumah impian mereka.

Katanya, pembinaan RMM di kawasan seluas 2.023 hektar terletak di Mukim Merlimau melibatkan lima jenis perumahan mampu milik.

“Daripada jumlah itu sebanyak 10 peratus iaitu 64 unit adalah Rumah Kos Rendah (KSR) serendah RM70,000. Sementara itu 10 peratus lagi dari kawasan itu juga turut akan dibina Rumah Kos Sederhana Rendah (RKSR) dengan sebanyak 64 unit RKSR dengan harga jualan RM120,000.

“Selain itu, 13 peratus daripadanya juga akan dibina RMM Jenis A iaitu sebanyak 84 unit rumah dengan harga jualan RM180,000.

“67 peratus daripada keluasan perumahan itu akan dibina RMM Jenis B dan C iaitu sebanyak 246 unit bagi Jenis B dengan harga RM215,000 manakala sebanyak 196 unit Jenis C dengan harga RM250,000,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Menandatangani Perjanjian Pembangunan Perumahan Rumah Mampu Milik (RMM) Di Antara Lembaga Perumahan Melaka (LPM) dan Pemaju Nusantara Tulin Sdn Bhd diadakan di Bilik Mesyuarat Bijasura, Seri Negeri, di sini hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azhar Arshad; Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Salhah Salleh; Penasihat Undang-Undang Negeri, Datuk Abd Aziz Engan; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan); Datuk Md Azhan Samat @Limat; Pengarah Eksekutif LPM, Datuk Tpr. Murad Husin serta tetamu lain.

Dalam pada itu, Ab Rauf berkata tempoh 24 bulan akan diberikan kepada pemaju itu untuk memastikan RMM di Semujok.

Katanya terdapat dua fasa pembinaan akan disiapkan selepas pemaju mendapat kelulusannya.

“Pemaju dikehendaki memulakan kerja-kerja pembangunan ini dalam tempoh 90 hari dari tarikh kelulusan Lesen Pemaju Perumahan dan Permit Iklan diperolehi. Pembangunan projek akan dijalankan secara berperingkat dalam 2 Fasa,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1879
Kongsi :
Previous post Op Kesan 2.0 Fasa 1, KPDN periksa 80 premis
Next post Olimpik Paris 2024: Anak jati Ujong Pasir tekad beri yang terbaik
Ubah saiz-+=