Bertahun diberi notis, restoran masih ingkar arahan JAIM

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

PERINGGIT 8 April – Sudah bertahun diberikan amaran dan notis namun tidak diendahkan pengurusan sebuah restoran di Jalan Cempaka, di sini, dikesan masih menjual makanan bungkus kepada orang ramai seawal jam 8 pagi.

Perbuatan itu dikesan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) menerusi Op Plastik Hitam Menggelegak jam 12 tengah hari tadi.

Terdahulu pemerhatian sekitar jam 11 pagi mendapati restoran berkenaan menggunakan khidmat ‘ulat’ iaitu pekerja menjalankan tugas mengambil pesanan daripada pelanggan menggunakan kaedah pandu lalu atau menerusi panggilan telefon.

Hampir belasan pelanggan menunggang motosikal dan memandu kereta dilihat menunggu berhampiran premis berkenaan sebelum beredar selepas pesanan masing-masing diterima.

Hasil serbuan dijalankan penguat kuasa JAIM tengah hari tadi beberapa pekerja restoran itu direkodkan keterangan bagi membantu siasatan.

Menyedari kehadiran penguat kuasa JAIM pekerja yang menjalankan tugas sebagai ulat itu cuba meloloskan diri daripada ditahan pihak berkuasa.

Malah apa yang mengejutkan kesemua pekerja berpura-pura tidak mengenalinya, namun taktik itu berjaya dihidu pihak penguat kuasa dan akhirnya ulat berbaju hijau dikenali Mydin menyerah diri kepada pihak berkuasa 20 minit kemudian.

Hasil pemeriksaan dijalankan juga mendapati restoran berkenaan sebenarnya menggaji pekerja dalam kalangan bukan Muslim.

Pengarah JAIM, Datuk Che Shukri Che Mat berkata, risikan dijalankan sejak 1 Ramadan lalu mendapati premis berkenaan menjual makanan bungkus kepada orang awam sejak jam 8 pagi.

Beliau berkata, hampir lima tahun amaran dan notis diberikan namun pengusaha premis berkenaan tetap menjalankan aktiviti sama setiap kali Ramadan.

“Kesemua peniaga dan pekerja berusia 24 hingga 63 tahun telah diberikan notis dibawah Seksyen 49, Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka dan diperintahkan untuk hadir ke pejabat penguatkuasaan JAIM untuk memberi keterangan lanjut.

“Setakat ini, sebanyak 144 lokasi panas menjalankan kegiatan sama di seluruh negeri Melaka dengan pecahan 87 premis di Melaka Tengah diikuti 38 di Jasin dan 19 di Alor Gajah.

“Setakat hari ini sebanyak 11 premis telah diperiksa dan seramai 15 individu telah menerima notis kesalahan sama dan diperintahkan untuk hadir ke pejabat penguatkuasaan JAIM untuk memberi keterangan lanjut,” katanya

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1063
Kongsi :
Previous post Aktiviti selam skuba, snorkeling sekitar Mersing akan diteruskan selepas penilaian risiko
Next post Bilangan penganggur Malaysia menurun pada Februari 2022
Ubah saiz-+=