60 PEMPENGARUH ASIA PROMOSI PELANCONGAN MELAKA
BANDA HILIR 5 Disember – Seramai 60 pempengaruh dari sembilan buah negara Asia memilih Melaka sebagai destinasi untuk mempromosikan sektor pelancongan.
Kesemua mereka merupakan pempengaruh yang mempunyai jutaan pengikut di seluruh Asia dan tersenarai dalam Anugerah All Star Influencers (ASIA) 2024 yang akan berlangsung bulan ini.
Menurut Pengasas ASIA 2024 Datuk Abd Rahman Soltan, pempengaruh yang terlibat adalah datangnya dari Korea, Jepun, China, Vietnam, Filipina, Taiwan, Indonesia, Thailand dan Malaysia sendiri.
Jelas beliau, Melaka dipilih sebagai antara lokasi memandangkan negeri ini menyimpan nilai sejarah dan budaya yang sangat berharga
Ujarnya, kesemua peserta akan menjelajah ke beberapa lokasi di negeri ini, antaranya Balai Adat Melaka, selain eksplorasi pencarian harta karun di beberapa produk pelancongan ikonik Banda Hilir bagi mempromosikan konsep pelancongan yang ada di Melaka menerusi platform media sosial masing-masing.
“Promosi pelancongan Melaka ini terbahagi kepada tiga perkara iaitu pertama dalam sudut budaya memandangkan Melaka antara negeri dalam Malaysia yang mempunyai keunikan dan nilai budaya tersendiri seperti contoh adat perkahwinan Melayu.
“Seterusnya, mereka juga akan mempromosikan lokasi bersejarah yang ada di negeri ini dan terakhir ialah promosi makanan ‘signature’ seperti asam pedas dan lain-lain lagi,” katanya kepada pemberita.
Terdahulu, kesemua pempengaruh itu disantuni Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh pada Sesi Meet and Greet YAB Ketua Menteri Melaka bersama All Star Influencers Awards (ASIA) 2024 di perkarangan Bangunan Stadthuys, Banda Hilir, hari ini.
Hadir sama, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman.
Untuk rekod, ASIA 2024 bertujuan memupuk kesedaran tentang kepentingan menghasilkan kandungan bermanfaat dan berkualiti selain menghimpunkan bakat serta pengaruh digital dari pelbagai latar belakang budaya.
Peserta dengan jutaan pengikut akan menyertai aktiviti seni dan budaya di Melaka, di mana kandungan video yang dihasilkan perlu memfokuskan keindahan dan kepelbagaian budaya Malaysia, yang dapat menarik perhatian pengguna media sosial di seluruh dunia.
ASIA edisi kedua ini turut menampilkan 13 kategori pertandingan, antaranya Best Storyteller Award, Best Culture Curator Award, dan Best Transition/Editing Award. Pemenang bagi setiap kategori akan menerima hadiah wang tunai dan trofi eksklusif.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.