60 mahasiswa UTeM ditauliah Inspektor Kor Sukarelawan Polis
AYER KEROH 7 Jan – Seramai 60 orang mahasiswa Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) ditauliahkan dengan pangkat Inspektor Kor Sukarelawan Polis (Kor SUKSIS/KS).
Semua mahasiswa berkenaan ditauliahkan dalam Majlis Pentauliahan dan Penyampaian Sijil Pelantikan Pegawai Kor SUKSIS UTeM 2021 yang diadakan di Dewan Kuliah Fakulti Kejuruteraan Pembuatan (FKP), UTeM.
Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) yang menjalankan fungsi Naib Canselor UTeM, Prof Ir Dr Ghazali Omar berkata, program Kor SUKSIS ini merupakan satu usaha kerajaan untuk mendekati pelajar melalui aktiviti berfaedah selain membina pembentukan minda.
Beliau berkata, pegawai-pegawai Kor SUKSIS UTeM ini diharapkan dapat menceburkan diri dalam dunia kepolisan berbekalkan ilmu dan pengalaman yang diperolehi sepanjang menjalani latihan selama enam semester sebelum ini.
“Karakter diri melalui keterlibatan dalam Kor SUKSIS merupakan salah satu platform yang sangat tepat dan membuahkan hasil yang cukup membanggakan kerana berjaya melahirkan modal insan yang terlatih dan berdisiplin tinggi,” katanya dalam kenyataan.
Majlis Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Pelantikan Pegawai Kor SUKSIS UTeM ini isempurnakan oleh Ketua Polis Melaka, Datuk Wira Abdul Majid Mohd Ali.
Hadir sama dalam majlis berkenaan, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) Datuk Dr Sabri Mohamad Sharif, Timbalan Komandan Kor Suksis UTeM Penguasa yang juga Supt Kor SUKSIS Datuk Azhar Mohamed, pegawai kanan Kontinjen Melaka dan Bukit Aman serta pegawai kanan UTeM.
Dalam majlis tersebut, penuntut Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Mekanikal (Teknologi Automotif), Inspektor KS Norfirdaus Azimi Roslan dinobatkan sebagai Pelatih Terbaik Keseluruhan.
Sementara itu, pelajar kursus Ijazah Sajana Muda Kejuruteraan Elektronik dengan Kepujian dari Fakulti Kejuruteraan Elektronik & Kejuruteraan Komputer (FKEKK), Inspektor KS Nurul Hidayah A. Halim dianugerahkan Pelatih Terbaik Latihan Luar.
Pelatih Terbaik Akademik pula menjadi milik Inspektor KS Wan Nur Adelina Megat Asrul Hazaman pelajar kursus Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer dari Fakulti Teknologi Maklumat & Komunikasi (FTMK).
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.