
60 kakitangan LPM lafaz Ikrar Bebas Rasuah
AYER KEROH 6 Jan. – Seramai 60 kakitangan Lembaga Perumahan Melaka (LPM) melafazkan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) sebagai komitmen membanteras jenayah rasuah dalam kalangan anggotanya, hari ini.
Pengarah Eksekutif LPM, Mohd Salleh Hamidom berkata, IBR merupakan peringatan kepada agensi serta jabatan kerajaan agar menjauhi rasuah.

“Ini juga jaminan sebagai pimpinan organisasi kepada warga kerja untuk mengambil langkah-langkah yang proaktif.
“LPM juga menubuhkan Unit Integriti yang akan menilai apakah risiko-risiko yang boleh membawa kepada jenayah rasuah apabila berurusan dengan pihak luar atau kakitangan sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada MHI selepas Majlis Ikrar Bebas Rasuah (IBR) LPM di Pejabat LPM, hari ini.
Hadir sama, Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Melaka, Awang Kok Ahmad Taufik Putra Awang Ismail.