60 buah sekolah seluruh negara terima bantuan kelas pintar

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

AYER KEROH 2 November – Yayasan AEON Malaysia menyasarkan sebanyak 60 buah sekolah seluruh negara akan menerima bantuan dalam pembangunan infrastruktur kelas pintar dalam tempoh tahun ini hingga tahun hadapan.

Setiausaha Agongnya Dr Kasuma Satria Mat Jadi berkata peruntukan kira-kira RM2 juta akan disalurkan dalam misi bantuan itu sekali gus mampu memperkasakan sistem pendidikan negara.

Katanya, setakat tahun ini sebanyak 12 kelas pintar telah disiapkan manakala bakinya akan ditumpukan pada tahun hadapan.

“Manakala, kita juga telah meluluskan sebanyak lagi 12 sekolah lain untuk menerima bantuan kelas pintar ini.

“Bagi memantapkan lagi sesi pembelajaran, kita juga telah melantik konsultan dan tenaga pengajar khas untuk bekerjsama dengan guru-guru di sekolah terpilih ini bagi memastikan pelajar mendapat hasil yang terbaik menerusi kelas pintar ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perasmian Pembukaan Semula AEON Shopping Centre di sini.

Terdahulu, program perasmian itu telah disempurnakan oleh Yang di- Pertua Negeri, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam.

Hadir sama, Timbalan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Tuminah Kadi @ Mohd Hasim serta tetamu lain.

Menerusi program itu juga, Tun Mohd Ali turut menyampaikan sumbangan menerusi Yayasan AEON Malaysia sebanyak RM10,000 kepada tiga pertubuhan kebajikan terlibat.

Dalam pada itu, Kasuma berkata pelbagai tumpuan lain akan dilaksanakan yayasan itu bagi membantu golongan memerlukan di negara ini.

Malah katanya, misi membantu rakyat Palestin yang berdepan dengan kemelut peperangan berlaku turut akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat

“Yayasan ini telah meluluskan sumbangan sebanyak RM50,000 untuk disalurkan buat rakyat Palestin yang berdepan dengan krisis kemanusiaan dan ia akan disampaikan kepada Kementerian Luar untuk terus disalurkan ke negara itu.

“Kita baharu sahaja meluluskan bantuan tersebut dan kami masih berbincang sama ada untuk menambah dana bantuan kepada Palestin,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

917
Kongsi :
Previous post KKR bakal laksana program rintis sandbox, inovasi selenggara jalan
Next post Op Rahmah diteruskan musim tengkujuh, APM terima aset baharu
Ubah saiz-+=