6 remaja rentas negeri sambut hari jadi rakan dikompaun RM30,000
ALOR GAJAH 11 Julai – ‘Kegigihan’ enam remaja merentas negeri tanpa kebenaran hanya untuk meraikan sambutan hari jadi bertukar malang apabila dikompaun RM30,000, semalam.
Mereka ditahan dalam operasi pemantauan oleh pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah di sebuah rumah di Taman Baiduri, Pulau Sebang, dekat sini, pada jam 5 petang.
Turut ditahan perempuan berusia 17 tahun selaku penganjur yang tinggal di rumah berkenaan.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, semua suspek berusia antara 14 hingga 18 tahun itu ditahan kerana dipercayai berkumpul di hadapan rumah berkenaan.
Katanya, hasil pemeriksaan mendapati enam daripada remaja itu merentas negeri dari Gemas, Negeri Sembilan tanpa dokumen rentas negeri sah untuk meraikan hari jadi rakan mereka yang ke-17 tahun.
“Mereka melakukan kesalahan mengikut Peraturan 4 (1) Peraturan-peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan ) (PPN) 2021.
“Berikutan itu, enam individu terbabit masing-masing dikompaun RM5,000 kerana kesalahan merentas negeri,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Arshad, penganjur berusia 17 tahun dikesan melakukan kesalahan mengikut Peraturan 11 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan ) (PPN) 2021 kerana mengadakan majlis terbabit.
“Bagaimanapun, penganjur masih belum dikenakan kompaun dan keterangannya akan diambil,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan orang ramai supaya mematuhi arahan ditetapkan dan kejadian seumpama itu disifatkan berbahaya memandangkan enam individu berkenaan datang dari negeri yang merekodkan statistik COVID-19 tinggi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.