6 harapan kepada penjawat awam Melaka
JASIN 25 Julai – Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh menggariskan enam harapan kepada penjawat awam Negeri Melaka dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
Harapan itu disampaikan Ketua Menteri pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kerajaan Negeri bagi Bulan Julai 2024 dan Hari Bertemu Rakyat Kerajaan Negeri Melaka di Dewan Alamanda Jasin, di sini, hari ini.
Jelas Ab Rauf, harapan pertama adalah setiap jabatan dan agensi Kerajaan Negeri mahupun persekutuan sentiasa turun padang bertemu rakyat secara lebih dekat untuk menyelami segala permasalahan di peringkat akar umbi.
Selain itu, kata beliau, ketua-ketua jabatan dan agensi juga perlu lebih proaktif agar segala hala tuju Kerajaan Negeri sentiasa berada di landasan yang tepat di samping menepati segala ‘timeline’ rancangan-rancangan yang telah dirangka.
“Ketiga, saya mahukan seluruh penjawat awam sentiasa meningkatkan momentum dan kualiti perkhidmatan bagi memastikan Key Performance Indicator (KPI) dapat dicapai malah perlu jauh lebih tinggi berbanding dengan apa yang telah ditetapkan.
“Penjawat awam juga perlu berubah secara inovatif dan kreatif serta menyelesaikan isu rakyat dengan pemikiran di luar kotak.
“Sudah tiba masanya, penjawat awam bertindak selaku pelaksana agenda transformasi negeri yang berperanan sebagai ‘change agent’ atau pemacu perubahan dalam konteks merakyatkan perkhidmatan awam,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan, Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman.
Turut hadir Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; ketua-ketua jabatan dan agensi serta lain-lain kenamaan.
Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, harapan kelima adalah mahu melihat penjawat awam mempraktikkan diri menjadi seorang ‘thinkers’, ‘planners’ dan ‘implementers’ bagi menjayakan agenda perkhidmatan awam dan bersedia memenuhi eskpetasi rakyat yang kian meningkat.
“Penjawat awam juga perlu terus membudaya dan merakyatkan perkhidmatan awam kerana ia merupakan agenda besar kerajaan negeri untuk direalisasikan.
“Justeru, ‘business is no longer as usual’, kerana rakyat kini lebih pandai menilai dan mengharapkan perkhidmatan yang terbaik,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.