59 saudara baharu peluk Islam di Melaka tahun ini

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

KESIDANG 27 Mac – Melaka merekodkan pertambahan 59 saudara baharu yang memeluk Islam bermula Januari hingga 24 Mac tahun ini.

Penolong Setiausaha Bahagian Balai Islam Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Nasir Wahab berkata, proses pengislaman kebanyakan mualaf itu berlaku di Kompleks Darul Huda.

Selain itu, pengislaman turut dijalankan di Pejabat Agama Daerah dan bersama badan bukan kerajaan (NGO) yang bekerjasama dengan Balai Islam.

“Berdasarkan trend data pemelukan Islam ini, saya percaya bilangan ini akan bertambah dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pengagihan Bantuan Ramadan dan Syawal (Zakat Fitrah) Kepada Asnaf Mualaf MAIM di Kompleks Darul Huda Balai Islam di sini, hari ini.

Majlis itu dirasmikan Timbalan Pengerusi MAIM, Datuk Wira Md Rawi Mahmud, dan turut dihadiri Mufti Melaka, Datuk Wira Abdul Halim Tawil dan Pengurus Baitulmal MAIM, Mohd Hairulamin Mohd Sis.

Pada majlis itu juga, Abdul Halim telah menyempurnakan pengislaman saudara baharu iaitu Zanariah Chaching, 31, sambul disaksikan Penggerak Orang Asli Daeah Alor Gajah, Norhafiza Abd Rahman.

Dalam pada itu, Nasir berkata, bagi mencapai kesempurnaan ilmu dalam kalangan saudara baharu, Balai Islam telah membuka 20 kelas pengajian agama Islam di seluruh Negeri Melaka.

Jelasnya, ia membabitkan tujuh kelas di daerah Melaka Tengah, lapan di daerah Alor Gajah dan lima di Jasin.

“Sehingga Februari 2023, seramai 453 pelajar telag mengikuti kelas yang diajar oleh 35 guru bertauliah.

“Pihak Balai Islam akan terus berusaha untuk memujuk dan menyantuni asnaf mualaf agar dapat hadir ke kelas-kelas pengajian yang disediakan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1615
Kongsi :
Previous post Kerajaan rangka sistem kawalan diesel bersubsidi – Ahmad Maslan
Next post Terbuka hati peluk Islam di bulan Ramadan
Ubah saiz-+=