59 projek pemuliharaan, penyelenggaran bangunan warisan seluruh negara selesai
TABOH NANING 22 Ogos – Sebanyak 59 daripada 67 keseluruhan projek pemuliharaan dan pemeliharaan bangunan warisan yang dilaksanakan Kementerina Kerja Raya (KKR) di seluruh negara selesai dilaksanakan tahun ini.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, projek tersebut melibatkan projek pemuliharaan dan pemeliharaan selain khidmat nasihat di peringkat Persekutuan dan negeri.
Katanya, antara projek terbaharu dilaksanakan KKR adalah Hospital Sultanah Aminah (HSA) di Johor manakala di Melaka melibatkan pembangunan Sistem Keselematan Elektronik Bersepadu (SKEB) Henry Gurney, Telok Mas.
Tambahnya, bagi projek dilaksanakan Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri ini pula membabitkan Masjid Alai manakala Institut Koreksional Malaysia melibatkan projek khidmat nasihat.
“Pemuliharaan dan pemeliharaan bangunan warisan ini penting kerana ia mampu menarik minat bukan sekadar pelancong tetapi rakyat biasa untuk mengetahui sejarah.
“Salah satunya (projek selesai) Mahkamah Tinggi Pulau Pinang yang akan diserahkan kepada Kerajaan Negeri pada 27 Ogos ini,” katanya pada sidang media selepas merasmikan ‘Platform For Exploration; Technical & Design’ 2024 (PENTAS 2024) di Dewan Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan dan Teknologi (CREaTE) JKR, hari ini.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azhar Arshad; Ketua Setiausaha KKR, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad dan Ketua Pengarah Kerja Raya Malaysia, Datuk Ir. Roslan Ismail.
Program tiga hari bermula semalam itu dihadiri 400 peserta membabitkan warga kerja JKR; pemain industri dan orang awam.
Alexander berkata, program yang dianjurkan CREaTE JKR itu bertujuan memberi kesedaran dalam pemeliharaan dan pemuliharaan warisan, adat, budaya serta seni, sekali gus mendukung inisiatif Kerajaan Negeri Melaka untuk mempromosikan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.