59 KAKITANGAN PANORAMA SDN BHD DIBERI PERHATIAN SEWAJARNYA
SERI NEGERI 31 Disember – Kesemua 59 kakitangan Panorama Sdn Bhd akan diberikan perhatian sewajarnya, termasuk diserap ke anak syarikat Kerajaan Negeri lain, selepas syarikat pengendali perkhidmatan bas henti-henti itu ditutup kerana tidak berdaya saing.
Kesemua 19 kakitangan bahagian pengurusan, pentadbiran dan sokongan, diserapkan ke anak-anak syarikat Kerajaan Negeri termasuk Perbadanan Melaka (MCORP); Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM); Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB); Melaka ICT Holdings Sdn Bhd (MICTH); Kumpulan Melaka Berhad (KMB) dan Melaka Bekal Sdn Bhd.
Sementara itu 40 kakitangan bahagian operasi bas dan pemandu pula kini sedang dalam proses ditemu duga serta dinilai oleh syarikat Handal Indah Sdn Bhd iaitu pengendali baharu bagi perkhidmatan bas henti-henti di negeri Melaka.
Mengulas lanjut perkara itu Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, Kerajaan Negeri memberi jaminan aspek kebajikan kakitangan syarikat itu terus diberikan perhatian, selain memastikan tiada yang tercicir atau diabaikan.
“Sepanjang proses ini, kakitangan Panorama Melaka Sdn. Bhd tetap dibayar gaji dan sebagai makluman, penutupan Panorama Melaka Sdn Bhd sepatutnya berkuat kuasa pada 31 Disember 2024.
“Namun disebabkan beberapa prosedur oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) termasuk pemindahan aset-aset milik Panorama Melaka Sdn Bhd, proses penutupan ini dijangka
selesai selewat-lewatnya pada 20 Januari 2025,” kata Ketua Menteri menerusi satu kenyataan dikeluarkan hari ini.
Terdahulu, pada sidang media selepas Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Melaka Yang Kelima Belas, di sini, Ab Rauf memaklumkan penutupan dilaksanakan kerana Panorama Sdn Bhd tidak berdaya maju serta tidak mencatatkan sebarang keuntungan.
“Mana-mana syarikat yang tidak berdaya maju seperti yang diwartakan dalam Pelan Melakaku Maju Jaya 2035 kita terpaksa tutup kerana kaedah pengurusan yang diwarisi kepada kita sehingga kini tidak dapat dipulihkan,” katanya.
Untuk rekod, Syarikat Panorama Melaka Sdn Bhd telah ditubuhkan pada 8 Mac 2012 selepas mengambil alih sebuah syarikat milik Kerajaan Negeri iaitu PM Cultural and Tourism Sdn Bhd yang menguruskan sistem pengangkutan awam membabitkan bas henti-henti di negeri itu dan sebelum itu, bas henti-henti dikendalikan oleh beberapa syarikat swasta.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.