5,779 sertai Perarakan Maulidur Rasul Melaka pada 28 September ini
AYER KEROH 13 September – Majlis Perhimpunan dan Perarakan Maulidur Rasul 1445 Hijrah Peringkat Negeri Melaka Tahun 2023 pada 28 September ini bakal melibatkan seramai 5,779 peserta.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, perarakan tersebut akan bermula di Stadium Tun Fatimah, Bukit Serindit dan tamat di Dataran Pusat Islam, Masjid Al-Azim Bukit Palah.
Katanya, sambutan Maulidur Rasul 1445 Hijrah kali ini bertemakan ‘Perpaduan Teras Malaysia Madani’.
“Perarakan dijadualkan bermula jam 7.30 pagi dan selesai pada jam 12 tengah hari. Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam juga dijangka hadir, sekali gus memeriahkan lagi sambutan.
“Setakat 8 September lalu, penyertaan bagi perhimpunan dan perarakan membabitkan 116 kontinjen,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Mengulas lanjut, Rahmad berkata Majlis Penutup dan Penyampaian Anugerah Maulidur Rasul 1445 Hijrah pula dijadualkan akan diadakan pada 1 Oktober nanti.
Selain itu Rahmad, turut memaklumkan mengenai penganjuran Karnival Semarak Cinta Rasul di Dataran Pusat Islam Melaka, Bukit Palah dijadualkan berlangsung dari 28 September hingga 1 Oktober.
“Majlis Penutup dan Penyampaian Anugerah Maulidur Rasul 1445 Hijrah akan diadakan pada jam 10.30 pagi hingga 12.30 tengah hari bertempat di pentas utama Karnival Semarak Cinta Rasul.
“Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, dijangka hadir menyampaikan Anugerah Khas Maulidur Rasul pada hari berkenaan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.