37 calon wanita bertanding PRN Johor
JOHOR BAHRU 26 Feb – Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor menyaksikan peningkatan jumlah calon wanita yang bertanding berbanding sewaktu Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018.
Pada PRN kali ini, seramai 37 wanita menjadi calon berbanding 28 orang pada PRU14.
Berdasarkan data senarai calon, Barisan Nasional (BN) merupakan parti yang mengetengahkan bilangan calon wanita terbesar dengan jumlah 14 calon.
Calon BN Nor Rashidah Ramli dan Rashidah Ismail adalah antara calon wanita yang diketengahkan BN untuk mempertahankan kerusi yang dimenangi mereka berdua pada 2018 masing-masing bagi kerusi DUN Parit Raja dan Pasir Raja.
BN juga meletakkan Kelly Chye Pei Yee, 26, di DUN Mengkibol, antara calon termuda dalam PRN kali ini.
Pakatan Harapan (PH) pula memberi amanah kepada lapan calon wanita untuk memenangi kembali kerusi DUN bagi pakatan tersebut setelah berlakunya polemik politik yang menyaksikan runtuhnya kerajaan PH pada Februari 2020.
Setiausaha Publisiti Wanita DAP Johor Marina Ibrahim adalah antara calon wanita yang akan bertanding bagi PH.
Selain itu, Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) yang pertama kali bertanding dalam pilihan raya meletakkan Setiausaha Agung parti itu Amira Aisya Abd Aziz sebagai calon di DUN Puteri Wangsa serta Nur Afiqah M. Zulkifli sebagai calon di DUN Bukit Kepong.
Perikatan Nasional pula meletakkan enam calon wanita manakala Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) empat calon dan PKR tiga.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.