543 bomba Melaka terima suntikan vaksin fasa 1
BUKIT KATIL 3 Mac. – Seramai 543 anggota dan pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di negeri ini bakal menerima suntikan vaksin fasa 1 menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang bermula secara rasmi, semalam.
Pengarah JBPM Melaka Abu Obaidat Mohamad berkata, untuk permulaan 246 anggota dan pegawai dari daerah Melaka Tengah akan menerima suntikan terlebih dahulu diikuti anggota dan pegawai dari Jasin dan Alor Gajah.
“Suntikan vaksin melibatkan anggota bomba dari balai dan ibu pejabat bomba daerah Melaka Tengah bermula pada hari ini yang mana kita jangka ia akan mengambil masa selama lima hari untuk suntikan pertama. Seterusnya kita akan bergerak ke balai dari daerah lain pula secara berperingkat.
“Kita percaya dengan suntikan vaksin ini ia dapat memberi semangat kepada anggota yang bertugas sebagai petugas barisan hadapan bagi memerangi COVID-19 di negeri ini.
“Seperti kita tahu, anggota bomba banyak terlibat dengan menjalankan kerja-kerja sanitasi bangunan dan sebagainya, jadi kita percaya suntikan ini dapat membuatkan mereka lebih yakin untuk menjalankan tugas sepanjang tempoh pandemik COVID-19,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika meninjau proses suntikan vaksin Pfizer-BioNTech membabitkan 54 pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat JBPM Negeri Melaka, di sini, hari ini.
Program tersebut telah mendapat kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Melaka dan Klinik Kesihatan Ayer Molek.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.