Sorting by

×

54 surau di Melaka dibenarkan solat Jumaat

Masa Membaca:1 Minit, 1 Saat

BUKIT KATIL 1 Julai – Melaka membenarkan sebanyak 54 surau di negeri ini meneruskan operasi bagi solat Jumaat khas sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Mufti Melaka, Datuk Wira Abdul Halim Tawil berkata, ia selaras dengan Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) yang memutuskan kebenaran tersebut.

“Surau atau premis tertentu seperti kuaters-kuaters kerajaan yang mempunyai surau asrama dan sebagainya diberikan kebenaran khas yang bersifat sementara ini.

“54 surau tersebut meliputi 15 surau dibawah jabatan pendidikan, 11 dibawah institusi termasuk Majlis Amanah Rakyat (MARA), polis dan kuaters kerajaan serta 28 surau dalam taman dan kampung,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Penyerahan Surat Kebenaran Solat Jumaat Sementara di Pejabat Mufti Melaka, hari ini.

Jelasnya, jabatan mufti negeri juga masih menerima permohonan dari peringkat kariah selagi ia menepati syarat yang ditetapkan.

“Permohonan boleh dipohon dan kami akan pertimbangkan, pastikan ia mendapat makluman daripada pengerusi masjid kariah yang ada,”katanya.

Ujarnya, kesemua surau tersebut hendaklah mematuhi garis panduan yang ditetapkan dalam tempoh PKPP ini.

“Manakala, bilangan jemaah perlu mengikut keluasan surau dan mengekalkan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang digariskan,” katanya lagi.

Tambahnya, semua permohonan juga mengambil kira faktor kesesuaian termasuk jarak dengan masjid dan orang yang akan memimpin solat tersebut.

Views:

788
Kongsi :
Previous post RM100,000 atasi ‘sungai mini’ di Ujong Pasir
Next post Pelarasan ICPT pastikan tarif yang telus dan adil – TNB
Ubah saiz-+=