538 kenderaan diarah patah balik, 704 bangunan diperiksa sempena Aidiladha
AYER KEROH 23 Julai – Sebanyak 538 kenderaan yang cuba merentas negeri diarah berpatah balik ketika melalui sekatan jalan raya (SJR) di negeri ini.
Pegawai Turus Ketenteraman Awam Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Deputi Superintenden Nik Ab Halim Nikmat berkata, jumlah itu adalah daripada 56,670 kenderaan diperiksa bermula 18 hingga 21 Julai lalu.
“Bagaimanapun tiada sebarang kompaun dikeluarkan pihak polis sebaliknya pemandu hanya diarahkan berpatah balik.
“Ini juga selari dengan arahan Ketua Polis Negara (Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani) sebelum ini yang tidak membenarkan dokumen MITI digunakan untuk merentas negeri berkuat kuasa 18 hingga 21 Julai 2021,” katanya.
Keputusan itu bagi mengelakkan pihak tidak bertanggungjawab menyalahgunakan surat Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sebagai kelulusan merentas negeri untuk sambutan Aidiladha.
Menurut Nik Ab Halim, kenderaan yang diperiksa juga memberikan kerjasama baik setelah polis memberi penerangan mengenai ketetapan larangan itu.
Selain SJR katanya, Polis Melaka turut memeriksa 704 bangunan merangkumi 371 masjid dan surau, 265 buah rumah serta 68 lokasi lain yang dibenarkan melaksanakan ibadah korban secara rawak melalui Op Patuh Aidiladha yang dijalankan.
“Sebanyak 265 buah rumah yang diperiksa bagi memastikan tiada aktiviti ziarah sempena Aidiladha mengikut prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Pemeriksaan dilakukan secara rawak bagi membantu kerajaan mengawal penularan jangkitan COVID-19. Sepanjang operasi, tiada kompaun dikeluarkan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.