530 wanita khatam al-Quran di Masjid Selat
BANDARAYA MELAKA 15 April – Lebih 500 individu termasuk saudara baharu menyertai Program Tadarus dan Khatam Al-Quran Perdana bagi mengimarahkan Ramadan di Masjid Selat, di sini, hari ini.
Ketua Wanita UMNO Kota Melaka , Datuk Haryaty Hamdzah berkata, penganjuran program itu adalah kali tiga diadakan pihaknya dan membabitkan pelbagai pihak lain.
“Kehadiran hari ini melebihi sasaran apabila seramai 530 orang hadir meskipun kita sasarkan kira-kira 500 penyertaan sahaja dan ini sesuatu yang amat mengembirakan.
“Malah kali ini juga kita ubah pendekatan sedikit apabila tidak hanya tertumpu kepada ahli wanita cawangan sebalik ada dari badan bukan kerajaan (NGO), penglibatan mualaf dan juga pelajar. Saya difahamkan juga ada individu perseorangan datang dari Muar, Johor untuk bersama-sama dengan kami.
“Kehadiran kira-kira 50 mualaf hari ini bersama-sama mengimarahkan bulan Ramadan adalah sesuatu yang amat baik,” katanya.
Beliau ditemui media selepas Program Tadarus dan Khatam Al-Quran Perdana yang dirasmikan Exco Wanita UMNO Malaysia Datin Samsidar Amir dan turut dihadiri Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital Mohd Noor Helmy Abd Halem, di Masjid Selat, hari ini.
Menurutnya, selain program tadarus pada Ramadan pihaknya juga merancang mengadakan program kerohanian dan keilmuan secara berterusan walaupun pada bulan biasa.
“Untuk penganjuran majlis kerohanian ini ia tidak semestinya diadakan di rumah ibadah oleh itu saya berfikiran mungkin program tadarus ini pada masa akan datang dapat diadakan dalam skala lebih besar sama ada di dewan orang ramai atau padang.
“Menerusi program sebegini kita bukan sahaja dapat memperbaiki bacaan dan memahami maksud al-Quran bahkan juga mengeratkan ukhwah sesama Islam,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.