528 tahanan lolos: PDRM, Imigresen diarah lakukan siasatan terperinci
Kesemua tahanan itu adalah pelarian yang dipindahkan dari Kem Wawasan Langkawi dan ditahan kerana menceroboh perairan negara serta melanggar Akta Imigresen pada tahun 2020.
Mereka yang terbunuh terdiri daripada dua lelaki dewasa, dua wanita dewasa dan masing-masing seorang kanak-kanak lelaki dan perempuan.
Setakat 8 malam ini, seramai 351 pelarian berjaya ditahan semula dan polis melancarkan gerakan mencari mereka yang masih lolos.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Seri Hazani Ghazali berkata pihaknya mengerahkan lebih 150 keanggotaan bagi mengesan saki-baki pelarian terbabit yang dipercayai masih berada di dalam negara ini.
Beliau berkata keanggotaan yang terlibat antaranya terdiri daripada Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dan Pasukan Gerakan Am (PGA) membabitkan kontinjen Pulau Pinang, Kedah serta Perak.
“FRU dan PGA yang dikerah akan dikoordinasikan oleh Ketua Polis Negeri masing-masing bagi mengesan mereka (pelarian Rohingya yang masih lolos),” katanya kepada Bernama hari ini.
Kejadian pada kira-kira 4.30 pagi itu dikatakan berlaku selepas rusuhan melibatkan 664 tahanan di depot berkenaan dan mereka meloloskan diri setelah memecahkan pintu blok serta jeriji penghadang.
Berikutan kejadian itu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin mengarahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen melakukan siasatan terperinci berhubung punca utama insiden tersebut.
“Sehingga kini, 382 tahanan ditahan semula oleh pihak PDRM dan semua agensi penguatkuasaan di bawah Kementerian Dalam Negeri dikerahkan dalam operasi bersepadu bagi menahan semula kesemua tahanan yang melarikan diri,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Hamzah berkata Malaysia adalah negara yang tidak mengiktiraf status pelarian Rohingya dan keberadaan mereka di negara ini hanyalah atas dasar kemanusiaan.
Beliau berkata sehubungan itu, semua pihak termasuk warga asing yang berada di Malaysia mesti mematuhi undang-undang negara ini.
“Bagi memelihara kedaulatan dan kepentingan rakyat Malaysia, tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil kepada mana-mana pihak yang melanggar undang-undang negara,” katanya.
Dalam pada itu, 13 sekatan jalan raya dilaksanakan menerusi Op Tutup iaitu masing-masing empat di Seberang Perai Selatan di Pulau Pinang dan Bandar Baharu serta lima di Kulim, Kedah.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud pula berkata kesemua tahanan memecahkan struktur depot dengan kekuatan tenaga memandangkan tiada peralatan ditemukan. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.