Sorting by

×

52 pelajar jalani ujian calitan susulan dua pelajar positif COVID-19

Masa Membaca:1 Minit, 44 Saat

AYER LIMAU 16 Okt. – Berikutan dua beradik disahkan positif COVID-19 kelmarin, seramai 22 murid Sekolah Kebangsaan Telok Berembang (SKTB) dan 30 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Lubok Cina (SMKLC), di Lubok Cina di sini menjalani ujian calitan hari ini.

Ia berikutan seorang murid lelaki tahun enam di SKTB dan abangnya di tingkatan dua SMKLC disahkan positif COVID-19 petang kelmarin.

Semua murid dan pelajar terbabit menjalani ujian berkenaan di SKTB berikutan kedudukan SMKLC yang hanya kira-kira 100 meter dari SKTB.

Tinjauan di sekolah berkenaan mendapati murid dan pelajar terbabit dibawa ibu bapa masing-masing untuk menjalani ujian berkenaan di SKTB.

Murid tahun enam, Arif Akmal Ahmad Mazli berkata, dia dan 21 lagi murid terbabit diminta menjalani ujian berkenaan bagi mengesahkan sama ada mereka dijangkiti pandemik
berkenaan atau sebaliknya.

“Kami adalah rakan sekelas seorang murid lelaki yang disahkan positif COVID-19 kelmarin dan kami diminta menjalani ujian itu hari ini,” katanya.

Beliau berkata, murid terbabit tidak hadir di sekolah beberapa hari sebelum disahkan positif petang kelmarin.

“Saya berdoa Allah melindungi saya daripada bahaya dan berharap dapat bersekolah semula apabila sekolah dibuka pada 22 Oktober ini,” katanya.

SKTB dan SMKLC ditutup selama tujuh hari mulai semalam berikutan dua beradik dikesan positif COVID-19.

Arahan penutupan itu dikeluarkan Pengarah Jabatan Pendidikan Melaka Dr. Mohd Azam Ahmad selaras dengan Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) Mengenai Pengurusan COVID-19 negara yang memutuskan mana-mana sekolah didapati mempunyai kes positif wabak berkenaan perlu ditutup tujuh hari tanpa menunggu analisa risiko oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri Datuk Rahmad Mariman dilaporkan berkata, kedua-dua kes berkenaan adalah kes di Negeri Sembilan dan mereka dirawat di Hospital Seremban.

Beliau berkata, berdasarkan siasatan, murid tahun enam berkenaan tinggal di Kampung Nerambai di Rembau Negeri Sembilan yang bersempadan dengan Lubok Cina di Daerah Alor Gajah.

Murid terbabit bersama-sama lapan anggota keluarga mereka disahkan positif COVID-19 pada jam 5 petang kelmarin dan mereka sudah dibawa ke Hospital Seremban selepas didapati mempunyai kontak rapat dengan ibu saudaranya yang positif COVID-19 dan baharu pulang dari Labuan, Sabah.

Views:

2253
Kongsi :
Previous post Polis buru lelaki larikan diri selepas dibebaskan SPRM
Next post COVID-19: SMK Lubok Cina dan SK Telok Berembang disanitasi
Ubah saiz-+=