50,000 pengunjung dijangka meriahkan KIAM ’23
AYER KEROH 23 Disember – Seramai 50,000 pengunjung dijangka akan singgah ke Karnival Islamik Antarabangsa Melaka (KIAM ’23) yang bakal berlangsung selama lima hari bermula Khamis depan.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, penganjuran karnival dari 28 Disember hingga 1 Januari 2024 adalah yang julung kali diadakan pada skala besar dan tempoh panjang dengan pengisian pelbagai program Islamik.
“Sepanjang lima hari karnival ini kita jangkakan 50,000 pengunjung akan hadir, bukan sahaja memeriahkan penganjuran tetapi menyertai aktiviti yang diatur. Sepanjang tempoh itu kita sasarkan bukan sahaja rakyat Melaka yang hadir tetapi juga pengunjung dari negeri luar.
“Antara pengisian menarik diatur adalah Bacaan al-Quran 24 jam tanpa henti, saringan peserta hafazan al-Quran Negeri Melaka, Ijtimak Murabbi, Forum Perdana, Ceramah Agama Perdana, Pertandingan Kompang Kreatif dan Kursus Pra Perkahwinan Islam Rahmah Perdana.
“Manakala pada hari terakhir turut diadakan Kursus Umrah Mudah Faham, Majlis Khatam al-Quran Perdana, turut diadakan sesi cabutan bertuah. Jadi setiap hari dipenuhi dengan pelbagai program yang membabitkan semua peringkat usia,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Molek berkata, penganjuran KIAM ’23 yang akan berlangsung di Perkarangan Stadium Hang Jebat, adalah antara inisiatif Kerajaan Negeri bersempena menyambut Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).
“Sudah pasti bagi memastikan karnival ini berlangsung dengan lancar dan jayanya segala persiapan akan dibuat sebaiknya termasuk dengan menyediakan kemudahan kepada pengunjung seperti surau dan tandas.
“Saya berharap, semua pihak termasuk jabatan terlibat bagi penganjuran karnival ini dapat melaksanakan dengan jaya. Semua orang Melaka dijemput untuk bersama-sama hadir memeriahkan KIAM ’23,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.