50,000 MERIAHKAN MELAKA BERSELAWAT
BANDA HILIR 29 Disember – Penganjuran Melaka Berselawat akan dijadikan sebagai acara tahunan, sekali gus menyuburkan lagi syiar Islam di Negeri Melaka, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Malah lebih 50,000 orang umat Islam hadir bagi bersama-sama memeriahkan majlis ilmu menerusi penganjuran Melaka Berselawat bersempena Ambang Tahun Baharu 2025 di Persiaran Jalan Merdeka, di sini, semalam.
Ketua Menteri berkata, jumlah kehadiran yang amat menggalakkan setiap kali program seumpama itu dianjurkan adalah bukti jelas bahawa orang Melaka amat bersemangat dalam menyuburkan lagi syiar Islam di Bumi Hang Tuah ini.
“Kerajaan Negeri amat terharu dan tersentuh dengan kehadiran yang begitu hebat ini, maka kita akan teruskan usaha dalam menyemarakkan syiar Islam, program Melaka Berselawat akan diadakan pada setiap tahun,” katanya ketika berucap pada Majlis Melaka Berselawat bersempena Ambang Tahun Baharu 2025.
Hadir memeriahkan majlis ilmu itu adalah Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam dan isteri, Toh Puan Datuk Wira Dr. Asmah Abd Rahman serta isteri Ketua Menteri, Datin Seri Utama Datuk Wira Zuriyah Abdul Aziz.
Yang hadir sama, Tunku Besar Tampin, Kolonel (K) Tunku Syed Razman Ibni Almarhum Tunku Syed Idrus Al-Qadri; Ketua Menteri Melaka Ke-12, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Wira Ibrahim Durum dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad.
Turut bersama, barisan Exco dan Timbalan Exco antaranya Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman serta lain-lain kenamaan.
AB Rauf juga berharap rakyat Melaka dapat memanfaatkan peluang dan ruang menerusi penganjuran Melaka Berselawat untuk menterjemahkan kesyukuran serta perasaan cinta menjadi umat Nabi Muhammad SAW berpandukan keperibadian Rasulullah yang bersifat ‘qudwah hasanah’.
“Penganjuran majlis seumpama ini tentunya sebagai satu wadah terbaik untuk kita sama-sama memperingati pengorbanan Rasulullah SAW dalam membuka lembaran baharu penyebaran agama Islam sepertimana yang berlaku suatu ketika dahulu.
“Untuk itu, menjelang kehadiran tahun baharu 2025 ini, saya ingin mengajak semua rakyat Melaka sama-sama berazam mencontohi keperibadian Nabi Muhammad SAW disamping memperkukuh ukhwah sesama masyarakat bukan sekadar dalam kehidupan duniawi bahkan juga ukhrawi,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.