Sorting by

×

5,000 juadah percuma habis tak sampai 15 minit

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

MASJID TANAH 1 Mei. – Sebanyak 5,000 bungkusan juadah berbuka puasa percuma habis diserbu orang ramai tidak sampai 15 minit selepas pelancarannya di Pasar Ramadan Masjid Tanah di sini, petang tadi.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, pihaknya tidak menyangka program Gerobok Rezeki itu menerima sambutan hebat pengunjung selepas dilancarkan serentak oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md. Ali kira-kira jam 5 petang tadi.

Menurutnya, pelbagai juadah percuma antaranya kuih manis, ikan bakar, ayam percik, lauk pauk dan murtabak ditawarkan kepada orang ramai membabitkan 50 gerai yang berniaga di situ.

“Tidak sampai 15 minit 100 bungkusan makanan terdiri daripada pelbagai juadah membabitkan 50 gerai terbabit ‘disambar’ pengunjung khususnya penduduk Masjid Tanah.

“Sambutan luar biasa ini juga diterima di tiga pasar Ramadan lain yang terlibat dalam Parlimen Masjid Tanah.

“Semoga dengan juadah yang diberikan ini dapat dinikmati bersama keluarga mereka di rumah. Di kesempatan ini pihak kami memohon maaf jika ada individu tidak berpeluang mendapatkan juadah yang diberikan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas menghadiri pelancaran Program Gerobok Rezeki di Pasar Ramadan Masjid Tanah.

Ab Rauf berkata, pihaknya mengagihkan makanan kepada orang ramai secara serentak bermula di Pasar Ramadan Masjid Tanah bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu diikuti di Pasar Ramadan Pengkalan Balak bagi DUN Tanjung Bidara.

Katanya, program agihan makanan itu diteruskan di Kuala Sungai Baru (DUN Kuala Linggi), Pasar Ramadan Lubok China (DUN Ayer Limau) dan Pasar Ramadan Simpang Empat (DUN Taboh Naning).

“(Disebabkan) program julung kali ini menerima sambutan ramai, UMNO Masjid Tanah menyasarkan pelbagai program serupa dalam masa terdekat seperti sumbangan telur dan minyak masak serta petrol percuma yang akan diumumkan kelak,” katanya.

Terdahulu, tinjauan MHI mendapati orang ramai mula mengunjungi pasar ramadan itu sekitar jam 4 petang sehinggakan mengakibatkan kesesakan lalu lintas di kawasan pekan Masjid Tanah sehingga lewat petang tadi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

382
Kongsi :
Previous post PKP akan dinilai semula-PM Muhyiddin
Next post 1,500 papan telur dan petrol bakal diagih di Masjid Tanah
Ubah saiz-+=