Sorting by

×

5,000 bakal naik Melaka River Cruise percuma

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

AYER KEROH 13 Januari – Lebih 5,000 pengunjung disasarkan akan memanfaatkan tawaran menaiki Melaka River Cruise (MRC) percuma sempena cuti umum Pengisytiharaan Tarikh Kemerdekaan Negara 20 Februari depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM), Datuk TPr. Murad Husin berkata, pada tarikh berkenaan orang ramai boleh menaiki MRC percuma di Muara Sungai Melaka, Taman Rempah dan Pengkalan Rama.

“Perkhidmatan percuma itu akan beroperasi dari jam 9 pagi hingga 5 petang, waktu rehat pula dari jam 1 tengah hari hingga 2 petang. Setiap jeti ini akan dibuka bagi memberikan perkhidmatan percuma, namun pengunjung terlebih dahulu diminta mengisi butiran diri masing-masing.

“Kita akan sediakan lokasi untuk memudahkan orang ramai mengimbas kod QR bagi merekodkan jumlah kemasukan pengunjung pada tarikh tersebut.

“Secara keseluruhan ada 15 bot iaitu lima bot di setiap jeti,” katanya ketika ditemui pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2024 YAB Ketua Menteri Melaka yang bertemakan ‘Bijak Memimpin, Berani Bertindak’ di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, semalam.

Mengulas lanjut, beliau berkata PPSPM juga melakukan persediaan bagi memastikan operasi MRC tetap lancar pada hari berkenaan.

“Dijangka akan berlaku peningkatan pengunjung pada 20 Februari ini, namun kita sudah bersedia dan jika perlu jumlah bot akan ditambah.

“Namun kami juga mengharapkan kerjasama daripada pengunjung, minta mereka bersabar, beratur, ikut giliran dan masa yang ditetapkan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

5997
Kongsi :
Previous post Bukti legenda Hang Tuah guna fakta
Next post Melaka tambah kuota bina menara telekomunikasi
Ubah saiz-+=