500 sambut Maal Hijrah, dengar ceramah Ustaz Kazim
GADEK 24 Julai – Sambutan Maal Hijrah 1445H Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Gadek disambut dengan penuh kesyukuran dihadiri kira-kira 500 tetamu.
Sambutan diadakan di Masjid Al Qaneetin, Kampung Tanjung Rimau di sini dimeriahkan dengan penampilan pendakwah bebas, Datuk Ustaz Kazim Elias.
Beliau menyampaikan Ceramah Perdana bertajuk ‘Perpaduan Teras Malaysia Madani’.
Terdahulu, sambutan bermula seawal jam 7 petang tadi dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah diimamkan oleh Imam 2Â Masjid Al Qaneetin Muhammad Amirul Ariff Abdul Ghani.
Kazim dalam ceramahnya berpesan konsep keutuhan perlu diterapkan dalam kalangan masyarakat lebih-lebih lagi agama Islam yang merupakan agama perpaduan.
Malah katanya, masyarakat perlu membawa nama baik agama Islam dan bukan menjadi pencetus kepada perpecahan dan pergaduhan.
“Jangan salah untuk gunakan nama Islam, jadi jangan kata kita ini Islam, kalau apa yang kita bawa adalah perpecahan dan pergaduhan,” katanya.
Selesai ceramah, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gadek yang juga Exco Belia, Sukan dan NGO negeri, VP Shanmugam menyampaikan cenderahati kepada Ustaz Kazim sebelum majlis diteruskan dengan solat Isyak berjemaah.
Hadir sama, Penghulu DUN Gadek, Mohd Al Hafiz, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Tanjung Rimau Luar, Zainuddin Merah JPKK Tanjung Rimau Dalam, Long Nadzran serta tetamu lain.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.