500 ekor rama-rama dilepaskan tanda terima kasih
AYER KEROH 22 Januari – Kira-kira 500 ekor rama-rama dari pelbagai spesis dilepaskan hari ini sebagai gimik sambutan ulang tahun ke-32 Taman Rama-rama dan Reptilia Melaka.
Eksekutif Pemasaran Taman Rama-Rama dan Reptilia Melaka, Juwairiyah Hashim berkata pelepasan rama-rama tersebut ke alam semula jadi itu adalah sebagai tanda terima kasih kepada semua pelancong yang pernah berkunjung ke situ.
Katanya, kesemua rama-rama itu dipulangkan semula ke alam semula jadi selepas dibiakkan.
“Salah satu spesis rama-rama yang kita lepaskan hari ini adalah dari spesis ‘Clipper’, di mana spesis ini sudahpun pupus di Singapura.
“Namun begitu, kita di Taman Rama-Rama dan Reptilia Melaka telah berjaya membiakkan jenis ini sehingga kini dalam skala besar.
“Dan bersempena ulang tahun ke-32, kita mengadakan Festival Ulang Tahun di mana pelbagai program telah direncanakan seperti ‘Education Programme’,yang mana pengunjung hanya perlu bayar tiket masuk sahaja dan aktiviti-aktiviti sepanjang festival berlangsung adalah secara percuma,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media selepas Program Melepaskan 500 rama-rama pelbagai spesis di Taman Rama-Rama dan Reptilia Melaka di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Juwairiyah berkata festival tersebut telah pun bermula seawal Disember tahun lalu sehingga 1 Februari depan.
Katanya, bersempena ulang tahun ke-32 Taman Rama-Rama dan Reptilia Melaka, pihaknya turut mengadakan 32 cabutan bertuah dan mengedarkan 32 balang berisi rama-rama untuk mengajak pengunjung bersama-sama melepaskan haiwan dari kumpulan serangga itu.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.