
500 ekor ayam licin dalam setengah jam
MERLIMAU 2 April – Hanya 30 minit masa yang diperlukan untuk menjual 500 ekor ayam segar pada harga istimewa.
Itu yang berlaku pada program Pasar Pemuda UMNO Jasin yang diadakan di Bandar Merlimau Utara, di sini, pagi ini.
Program anjuran Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Jasin itu antara lain untuk membantu orang ramai membeli ayam segar pada harga serendah RM5 sekilogram, terhad untuk dua ekor sahaja setiap keluarga.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau merangkap Ketua Pemuda UMNO Jasin Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, program itu diadakan bertujuan meringankan beban orang kampung dalam membeli barang basah sempena menyambut Ramadan yang akan bermula esok.
“Alhamdulilah Pasar Pemuda UMNO Jasin selesai jual 500 ekor ayam untuk semua orang kampung dalam tempoh 30 minit. Insya-Allah kita buat lagi bulan depan ya.
“Semoga ayam ini dapat memberikan senyuman yang indah untuk semua orang kampung,” katanya dalam satu hantaran di Facebook rasminya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.