500 BELIA DILANTIK SUKARELAWAN TMM2024
SERI NEGERI 27 Disember – Seramai 500 anak muda telah dilantik sebagai sukarelawan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) menerusi Bahagian Promosi Pelancongan (BPP).
Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata kesemua yang terpilih itu mewakili 15 subsektor pelancongan di negeri ini.
Abdul Razak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telok Mas berkata, sukarelawan golongan belia itu telah diberikan kursus dan ilmu buat mereka menambat hati pengunjung sempena TMM2024.
“TMM2024 telah disambut baik semua pihak termasuk Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan komuniti setempat yang berganding baju menjayakan penganjuran TMM2024.
“Menerusi BPP bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) kita memberi ilmu kepada sukarelawan supaya anak muda mahir berkenaan sektor pelancongan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Adly (PH-Bukit Katil) mengenai usaha Kerajaan Negeri menarik lebih ramai golongan anak muda untuk terlibat dalam pelancongan Negeri Melaka pada Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Melaka Yang Kelima Belas di Seri Negeri di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Abdul Razak turut menjawab soalan tambahan mengenai bagaimana Kerajaan Negeri mampu mengembangkan hasil kraftangan negeri ini.
“Kerajaan Negeri akan melaksanakan inisiatif baharu untuk mengenal pasti pemain industri kraftangan negeri menerusi Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WKUR) yang akan bermula pada Januari tahun depan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.