Sorting by

×

50 tan jerami jadi arca tengah bendang

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

SUNGAI RAMBAI 2 Disember – Dianggarkan 50 tan jerami digunakan bagi menghasilkan lebih 10 arca pelbagai bentuk bagi memeriahkan lagi suasana sekitar tapak penganjuran Karnival D’Bendang Melaka di Kem Benteng Negara, di sini.

Pensyarah Kanan Kolej Pengajian Seni Kreatif, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Melaka, Baharim Samuri berkata, pihaknya melakukan perancangan yang teliti bagi memastikan hasil akhir arca berkenaan mampu menarik perhatian pengunjung.

Katanya, pihaknya amat berbesar hati kerana diberi kepercayaan bagi menghasilkan arca berkenaan pada penganjuran sulung Karnival D’Bendang.

Menurutnya, karnival itu juga menjadi pentas pertama yang mempertontonkan arca jerami di Melaka yang sebelum ini popular di Selangar dan negeri di sebelah utara Malaysia.

Photo1701425672
PENSYARAH Kanan Kolej Pengajian Seni Kreatif, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Melaka, Baharim Samuri menyiapkan arca jerami padi pada Karnival D’Bendang Melaka yang bertempat di Kem Benteng Negara, Sungai Rambai, Jasin. Foto MR AZLI

“Ini adalah peluang untuk kami apabila dijemput oleh pihak penganjur bagi menghasilkan arca yang diperbuat daripada jerami, walaupun tiada pengalaman namun kami menyahut cabaran dan kepercayaan diberikan.

“Kami pensyarah bersama kumpulan pelajar membuktikan kemampuan dengan menghasilkan lebih daripada 10 arca antaranya berbentuk kerbau, menara, traktor, kura-kura dan terowong meskipun mengikut perancangan awal adalah menghasilkan tiga sahaja arca bersaiz gergasi.

“Prosesnya bermula dengan membina rangka daripada buluh dan jaring besi sebelum jerami padi disulam serta diikat pada rangka tersebut. Meskipun ia dilihat senang namun untuk menghasilkan satu-satu arca ianya agak mencabar,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Menurutnya, proses membuat arca itu dimulakan sejak dan siap pada Khamis, namun pasukannya masih melakukan pemantauan selain sentuhan akhir bagi memberikan kepuasan kepada pengunjung yang hadir.

“Proses pembuatan boleh dikatakan agak mencabar buat pasukan kerana selain ini kali pertama, faktor sekeliling iaitu dalam petak sawah yang basah dan berlumpur menyukarkan pergerakan, ditambah pula sekarang ini musim hujan, namun atas kerjasama berpasukan semuanya berjaya diatasi.

“Selain dapat menguji keupayaan kami, peluang membuat arca ini juga memberi pengalaman kepada pelajar itu sendiri kerana mereka bukan sahaja boleh praktikkan apa yang dipelajar malah merasai sendiri pengalaman ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2489
Kongsi :
Previous post Polis tahan dua suspek bersama ganja bernilai lebih RM200,000
Next post Masjid baharu, naik taraf kemudahan DUN Taboh Naning
Ubah saiz-+=