50 TAHUN RESTORAN HABEEB SULTAN, TERUS PIKAT HATI PELANGGAN
BUKIT BARU 12 Disember – Menginjak 50 tahun usia penubuhannya, Restoran Habeeb Sultan terus menjadi pilihan ramai dengan aneka juadah yang pastinya memikat selera.
Sejarah Restoran Habeeb Sultan bermula di Stesen Bas Melaka pada tahun 1974 dan hidangan set Nasi Sultan menjadi menu digemari ramai.
Legasi perniagaan Habeeb Sultan diwarisi anak ketiganya iaitu Syed Nizam Habeeb Sultan, 52, yang kini beroperasi di Bukit Baru (bersebelahan Petronas Bukit Baru), terus mengekalkan keaslian citarasa hidangan dengan menggunakan resepi diwarisi oleh bapanya.
Namun begitu, bagi memberi wajah baharu dan sesuai dengan peredara zaman bahagian dalam Restoran Habeeb Sultan, menjalani proses ubahsuai bagi memberikan suasana lebih eksklusif dan mesra pelanggan bersempena 50 tahun premis itu pada November lalu.
Menurut Syed Nizam, meskipun bapanya sudah tiada namun dia terus mengekalkan keaslian setiap resipi yang diwarisi bagi memastikan rasa Nasi Sultan yang diilhamkan oleh Allahyarham itu terus menjadi kesukaan pelanggan.
“Ini amanah dan tanggungjawab untuk saya meneruskan satu-satunya legasi Restoran Habeeb Sultan, melihat kepuasan pelanggan setiap kali menikmati juadah di restoran kami ia memberi kelegaan serta kesenangan.
“Disebabkan itu saya cuba sebaiknya mengekalkan keaslian resipi yang diturunkan oleh ayah dalam setiap hidangan khususnya untuk ‘signature dish’ Restoran Habeeb Sultan iaitu Nasi Sultan, menariknya masyarakat berbilang kaum Melayu, Cina dan India menyukainya.
“Seiring dengan itu kami juga tampil dengan wajah dan suasana kedai yang baharu apabila melakukan renovasi pada November lalu bersempena ulang tahun ke 50 restoran kami dengan harapan ia akan memberi keselesaan kepada pelanggan,” katanya.
Menurut Syed Nizam, selepas 15 tahun pemergian ayahnya dia bernasib baik apabila mendapat tunjuk ajar dan bimbingan daripada pekerja kepercayaan iaitu Haris Muhammad Sali, 64, setia berkhidmat hingga kini.
“Sudah semestinya banyak perkara dan cabaran dalam mengurus perniagaan terutamanya membabitkan makanan, namun dengan tunjuk ajar serta bimbingan Haris ia banyak membantu saya.
“Bertepatan dengan slogan restoran, iaitu menyediakan hidangan berkualiti dengan harga berpatutan kami cuba sebaiknya mungkin memenuhi citara pelanggan serta memberikan perkhidmatan terbaik,” katanya.
Katanya, beroperasi selama 14 jam sehari bermula 8 pagi hingga 10 malam, Restoran Habeeb Sultan bukan sahaja menyediakan hidangan sarapan pagi seperti roti canai, capati dan tosei tetapi turut menawarkan kira-kira 15 pilihan lauk-pauk.
“Selain hidangan Nasi Sultan yang didatangkan bersama lauk sambal sotong dan kari pari, lauk harian lain yang kami sediakan adalah ‘gear box’ kambing, rendang ayam, kari kambing, ikan pari dan asam pedas.
“Pada Ahad pula kami ada tambahan lauk lain, istimewa untuk pelanggan iaitu ‘lamb shank’ dengan harga RM20 selain terdapat juga kambing yang dimasak kari peratal,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.