50 artis berkampung jayakan Starvendors Foodstival Melaka 2023
AYER KEROH 19 Mei – Seramai 50 artis terkenal tanah air akan berkampung selama tiga hari bagi menjayakan festival makanan Starvendors Foodstival Melaka 2023 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, di sini, hujung bulan ini.
Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata, penganjuran julung kali diadakan di Melaka itu turut membabitkan usahawan tempatan.
Abdul Razak berkata, Starvendors Foodstival Melaka 2023 yang turut mendapat sokongan Tourism Melaka akan mengumpulkan usahawan pelbagai sektor termasuk fesyen, kecantikan dan kesihatan.
“Artis seperti Zizi Kirana, Noraniza Idris, Bella Astilah, Datuk Ziela Jalil dan ramai lagi usahawan tempatan akan mengambil bahagian.
“Objektif utama penganjuran ini adalah menjadikan Melaka sebagai destinasi pelancongan keluarga yang mesti dikunjungi selain meningkatkan jalinan kerjasama dengan semua pihak yang terbabit,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media yang turut dihadiri Pengurus Besar, Bahagian Promosi Pelancongan (BBP) Melaka, Saari Basiron di Pejabat BBP Kota Cemerlang, di sini, semalam.
Sementara itu, Pengarah Urusan yang juga pengasas Star Vendors Event Sdn. Bhd Datuk. Saripah Raziah berkata, acara ini adalah penganjuran kali ke-11 selepas Sabah, Perak dan Johor.
“Acara bermula dari jam 10 pagi hingga 12 tengah malam dan menariknya untuk 100 pengunjung terawal mereka akan mendapat peluang ‘sakau duit’.
“Bagi penganjuran kali ini, kita sasarkan kedatangan kira-kira 300,000 pengunjung bukan sahaja dari dalam negeri tetapi luar Melaka juga. Selain membeli belah pengunjung juga dapat menyaksikan persembahan konsert daripada artis terkenal tanah air,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.