50 ‘abang beca’ dilantik duta kecil MAIM
BANDA HILIR 24 Oktober – Seramai 50 pengayuh beca dilantik menjadi duta kecil Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) pada Majlis ‘Jom Mengeteh Dengan Abang Beca’ di sebuah hotel di sini hari ini.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata duta kecil terbabit membantu mempromosi dan perkenalkan perkhidmatan sumber am baitulmal dan wakaf kepada masyarakat.
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi MAIM berkata langkah itu selaras dengan pelancaran Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) pada tahun hadapan.
“‘Jom Mengeteh Dengan Abang Beca’ hari ini turut disampaikan sumbangan kepada dua persatuan beca: Persatuan Abang Beca Melaka dan Persatuan Beca Warisan Negeri Melaka dengan jumlah keseluruhan RM11,500 beserta kit makanan.
“Kita harapkan abang-abang beca dapat membantu mempromosikan perkhidmatan sumber am baitulmal dan wakaf melalui bunting yang dipasang di setiap beca,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas merasmikan Majlis ‘Jom Mengeteh Dengan Abang Beca’ di sebuah hotel di sini.
Dalam pada itu, Rahmad turut memaklumkan pihaknya telah melaksanakan beberapa program untuk mengagihkan hasil dana baitulmal yang bernilai keseluruhan RM90,000.
Jelasnya, hasil dana tersebut merupakan sumbangan sedekahatau infaq menerusi kutipan Tabung Amal Jariah Negeri Melaka.
“Menggunakan hasil dana itu kita menyumbangkan mesin monitor di dua klinik kesihatan iaitu Klinik Kesihatan Pengkalan Balak dan Klinik Simpang Bekoh.
“Sumbangan 10 buah komputer kepada Sekolah Rendah Agama(SRA) terpilih dan sumbangan 40 unit kerusi batu di SRA dan pusat tahfiz swasta terpilih.
“Dan sumbangan dua buah mesin basuh ‘heavy duty’ di Rumah Kasih Tun Abdul Aziz,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.