5 ‘Sekolah Digital’ di DUN Asahan

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

ASAHAN 18 Julai – Lima buah sekolah dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan akan memulakan program pendigitalan sekolah menjelang hujung tahun ini.

Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, lima sekolah terbabit adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Selandar; SMK Simpang Bekoh; SMK Nyalas; Sekolah Menengah Arab (SMA) JAIM Assyakirin, Selandar dan Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Selandar (SBPIS).

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan berkata, sebuah syarikat swasta akan melaksanakan pembangunan laman web secara percuma di kesemua lima sekolah terbabit bermula minggu depan dan dijangka selesai menjelang hujung tahun ini.

“Pembangunan laman web ini akan digunakan oleh pelajar sekolah yang mana, setiap pelajar hanya perlu membayar RM36 seorang dan boleh melayari laman web terbabit.

“Laman web itu akan menyediakan pelbagai kemudahan untuk pelajar yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) seperti contoh soalan tahun lalu, latihan dan video tuisyen setiap subjek,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas merasmikan Majlis Penyerahan Bantuan Persekolahan Yayasan Bank Rakyar Peringkat DUN Asahan Tahun 2024 di ILP Selandar, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Fairul Nizam berkata lima sekolah tersebut merupakan sekolah rintis dalam usaha pendigitalan sekolah dalam daerah Jasin.

“Kita akan laksanakan pembangunan laman web ini sebagai contoh yang telah dilakukan di lapan sekolah lain di negeri ini dalam daerah Melaka Tengah.

“Kita harapkan usaha mendigitalkan sekolah ini dapat membantu pelajar untuk mudah memahami dan belajar dalam menghadapi peperiksaan SPM pada tahun-tahun mendatang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

190
Kongsi :
Previous post Kes bunuh Nur Farah Kartini: 26 saksi dirakam keterangan – KP Selangor
Next post Keropok beracun: Pekebun dibebaskan dengan jaminan polis
Ubah saiz-+=