5 SEKOLAH DI MELAKA TERIMA DEWAN TERBUKA BERBUMBUNG

Masa Membaca:2 Minit, 3 Saat

TANJUNG BIDARA 25 Oktober – Infrastruktur pendidikan di Negeri Melaka bertambah baik dengan pembinaan Dewan Serbaguna Terbuka Berbumbung membabitkan lima buah sekolah di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, lima sekolah itu adalah Sekolah Kebangsaan Pengkalan Balak, Masjid Tanah; Sekolah Kebangsaan Alor Gajah 1; Sekolah Menengah Kebangsaan Ayer Molek, Bukit Lintang; Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Katil dan Sekolah Kebangsaan Parit Penghulu, Sungai Rambai.

Menurut Ketua Menteri, infrastruktur tersebut merupakan tanda keprihatinan kerajaan melalui Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam memastikan anak-anak di Melaka mendapat pendidikan yang terbaik.

“Saya berterima kasih kepada pihak KPM yang prihatin terhadap keperluan semasa di sekolah dan terima kasih juga kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Melaka yang mengawal selia projek ini sehingga ia dapat disiapkan dengan sempurna dalam tempoh empat bulan sahaja.

“Saya melihat bahawa kesempurnaan projek ini berlandaskan kepada pentadbiran yang cekap dalam memberi manfaat kepada murid dan guru.

“Saya juga berharap guru-guru di sekolah yang menerima manfaat dewan ini dapat menjadikannya sebagai salah satu sumber ekonomi dengan menyewakannya kepada masyarakat setempat,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan dan Perasmian Dewan Serbaguna Terbuka Berbumbung Sekolah Di Negeri Melaka 2024 di Sekolah Kebangsaan Pengkalan Balak, di sini, hari ini.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rosli Abdullah; Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Datuk Ruji Ubi; Pengarah JKR Negeri Melaka, Ir. Mohamad Salzeli Moktar serta kenamaan lain.

Sementara itu, dalam ucapannya, Ab Rauf memaklumkan, projek berkenaan menelan kos keseluruhan RM4.5 juta dan siap sepenuhnya pada 16 Oktober lalu.

Beliau berkata, pelaksanaan projek itu telah diluluskan dalam Rolling Plan 4 (RP4), Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12) Tahun 2024 dan JKR Negeri Melaka telah dilantik sebagai agensi pelaksana bagi pembinaan dewan berkenaan.

“Sesungguhnya, saya melihat projek pembinaan yang merupakan touch point kepada kesejahteraan sektor pendidikan ini adalah satu penekanan yang diambil serius oleh pihak kerajaan dalam usaha untuk meningkatkan kualiti tahap pendidikan.

“Kerajaan Negeri komited untuk memastikan setiap sekolah di negeri ini memperoleh ruang dan fasiliti yang inklusif dengan menyediakan akses yang saksama kepada pembelajaran untuk semua pelajar, termasuk mereka yang mempunyai keperluan khas.

“Saya berharap dengan kemudahan ini, dapat memberi impak kepada kejayaan murid-murid di samping meningkatkan pencapaian sekolah,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

460
Kongsi :
Previous post MINGGU SAINS NEGARA MELAKA LEPASI SASARAN AWAL
Next post SCOOT BUKA LEMBARAN BAHARU PENERBANGAN MELAKA
Ubah saiz-+=