5 SEBAB KENAPA PERLU NAIK MENARA TAMING SARI
MENARA Taming Sari adalah sebuah menara berputar yang menyajikan pemandangan indah panorama Bandar Melaka dan Selat Melaka.
Menara setinggi 110 meter itu merupakan antara produk pelancongan ikonik Negeri Melaka yang sering menjadi tumpuan terutama pada setiap hujung minggu dan cuti sekolah.
Sempena cuti sekolah yang hampir tiba, Melaka Hari Ini senaraikan lima sebab kenapa Menara Taming Sari wajar dijadikan pilihan sebagai destinasi percutian anda:
1. PEMANDANGAN 360 DARJAH
Menara Taming Sari menawarkan pemandangan luar biasa dari ketinggian 110 meter. Dari puncaknya, anda dapat melihat seluruh Bandar Melaka, termasuk Sungai Melaka, bangunan bersejarah dan tempat-tempat ikonik seperti Masjid Selat dan Kota A’Famosa.
2. BAGAIKAN BERPUTAR DI UDARA
Menara ini mempunyai platform berputar yang memberikan pengalaman dinamik, di mana anda boleh melihat panorama Melaka dari pelbagai sudut semasa menara berputar perlahan-lahan.
3. TEMPAT MENYERONOKKAN UNTUK SEISI KELUARGA
Menyediakan pengalaman yang menyeronokkan dan mendidik kanak-kanak serta orang dewasa selain menjadikannya sebagai destinasi yang sesuai untuk aktiviti bersama keluarga.
4. MENYELAMI KESAN SEJARAH
Melaka dikenali sebagai bandar bersejarah yang kaya dengan warisan budaya. Menara Taming Sari memberikan peluang untuk melihat bandar ini dari perspektif yang lebih tinggi, memperlihatkan struktur-struktur bersejarah dan kawasan yang penuh dengan cerita penting.
5. PORT SANTAI YANG MENARIK
Selain pemandangan dan pengalaman berputar, menara ini juga menyediakan ‘port’ santai untuk orang ramai berehat atau ‘healing’. Pelbagai gerai makanan disediakan di perkarangan Menara Taming Sari, selain terdapat banyak gerai oleh-oleh ada di sini untuk anda membeli buah tangan buat insan tersayang.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.