Sorting by

×

5 KEMALANGAN MAUT LIBAT PELAJAR SEKOLAH DI MELAKA SEPANJANG 2024

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

KUALA LINGGI 14 Januari – Sebanyak 18 kemalangan direkodkan membabitkan pelajar pergi dan balik sekolah di Melaka sepanjang tahun lalu.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak lima kematian dicatatkan iaitu membabitkan masing-masing dua kematian di daerah Melaka Tengah dan Jasin, manakala satu di Alor Gajah.

Menurut Hameed, jumlah kemalangan dan kematian itu bagaimanapun menurun berbanding tahun-tahun sebelumnya susulan pelbagai program advokasi keselamatan jalan raya dilakukan di sekolah-sekolah seluruh negeri.

“Meskipun begitu, kita akan terus memastikan program-program kesedaran ini dijalankan bagi memupuk budaya mematuhi peraturan jalan raya dari usia muda dan memperbaiki perilaku keselamatan pengguna jalan raya.

“Dengan melaksanakan pemeriksaan motosikal dan memberikan pendidikan keselamatan jalan raya kepada pelajar, program ini menyokong usaha untuk mencapai sasaran pelan tersebut dalam mengurangkan risiko kemalangan dan meningkatkan keselamatan di jalan raya secara menyeluruh,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Advokasi Keselamatan Jalan Raya dan Pemeriksaan Motosikal bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Melaka bersempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (W.R.U.R) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rahmat, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah JPJ Negeri Melaka Muhammad Firdaus Sharif.

Menurut Hameed, menerusi program tersebut, sebanyak 42 motosikal pelajar telah diperiksa dan pelbagai kesalahan dikesan.

Jelas beliau, kesalahan teknikal merekodkan jumlah tertinggi iaitu sebanyak 38 kesalahan, diikuti 15 kesalahan tiada lesen memandu; tujuh lesen tamat tempoh dan tiada insurans, manakala empat daripadanya dikesan menunggang motosikal di bawah umur.

“Bagi pihak Kerajaan Negeri kita juga meminta agar ibu bapa dan pihak sekolah memantau anak-anak yang datang ke sekolah dengan motosikal.

“Sekiranya mereka tidak cukup syarat memiliki lesen atau motosikal mereka tidak memenuhi aspek keselamatan, janganlah membenarkan mereka menunggang motosikal ke sekolah,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

307
Kongsi :
Previous post NAIK TARAF STADIUM HOKI BUKIT SERINDIT BERMULA JULAI
Next post ANAK MUDA TERUJA INISIATIF W.R.U.R
Ubah saiz-+=