5 jagoan muaythai gegar gelanggang
AYER KEROH 9 Oktober – Seramai lima jagoan muaythai negara membuktikan mereka berada dalam kelas tersendiri apabila berjaya meraih gelaran juara pada Kejohanan Muaythai Grand Fight (MGF) 2022 di Dewan Mini Bistari, di sini, malam tadi.
Kejohanan itu menyaksikan sebanyak lima kategori dipertandingkan iaitu Super 4 60 kilogram (kg); 46-48kg; 53-55kg; 70kg dan Wanita 50kg.
Bagi kategori Super 4 (60 kg), Shafiq dari Kelab Muay Thai Selendang Kuning berjaya menewaskan lawannya Hafiz dari Kelab Pagar Besi.
Selaku johan bagi ketegori Super 4, Shafiq membawa pulang hadiah kemenangan RM5,000, tali pinggang kejuaraan dan trofi.
Manakala, bagi aksi merebut Piala TYT Tun Seri Setia (Dr.) Mohd Ali Mohd Rustam (46-48kg), juara menjadi milik Fikri petinju dari Henry Gurney Melaka, menewaskan lawannya Iwan Kick Khondam dari Kelab GRP Fighter, sekali gus membawa pulang hadiah kemenangan RM2,500.
Untuk kategori berat 53-55kg pula, juara disandang Aman dari Kelab Blorious Fight menewaskan Lehe dari Kelab PPFC Pontian. Juara membawa pulang RM2,500 beserta tali pinggang kejohanan.
Manakala, bagi kategori tunggal iaitu wanita 50kg, Jovy dari Kelab Team X Fight Academy mewakili negara berjaya menewaskan lawan dari Thailand, Hongnapa dari Kelab Liang Pra Seat untuk membawa pulang RM2,500 dan tali pinggang kejuaraan.
Terdahulu, Kejohanan MGF tersebut telah dirasmikan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam yang turut menyampaikan hadiah kepada pemenang.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum dan Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, V P Shanmugam.
Kejohanan itu dianjurkan Kelab Rizq Muay Thai dengan kerjasama dari Ara Gym Muay Thai, selain turut mendapat sokongan Kementerian Belia Sukan (KBS) dan beberapa agensi kerajaan lain.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.