488 atlet Melaka ke Sukma 2022
AYER KEROH 24 Julai – Kontinjen Melaka akan menghantar seramai 488 atlet dalam 31 jenis sukan yang akan dipertandingkan dalam temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2022 yang diadakan pada September sehingga Oktober depan.
Exco Belia, Sukan dan NGO negeri VP Shanmugam berkata kesemua atlet akan menyertai 424 acara yang dipertandingkan dan kerajaan negeri menyasarkan 20 pingat emas dalam temasya sukan tersebut.
Katanya, kerajaan negeri turut menyalurkan bantuan RM1 juta untuk menyediakan keperluan dan kelengkapan wajib atlet-atlet Melaka ke Sukma.
“Salah satu cara kerajaan negeri menyokong pembangunan sukan dan atlet ke Sukma adalah dengan meletakkan bapa angkat pada setiap 31 sukan yang dipertandingkan.
“Peranan bapa angkat setiap sukan adalah sebagai individu atau agensi yang akan memantau serta menyediakan infrastruktur kepada atlet dan sukan itu sendiri.
“Jadi seramai 21 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), pegawai kerajaan dan agensi serta jabatan kerajaan telah dipilih untuk menjadi bapa angkat untuk 31 acara sempena Sukma nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan Watikah Bapa Angkat, Jabatan Angkat dan Anak Angkat sempena persiapan kontinjen Melaka menghadapi Sukma Edisi ke-20 di Dewan Bistari, di sini hari ini.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.