463 DAPAT MANFAAT PROGRAM SEJATI MADANI
MACHAP JAYA 22 Oktober – Geran berjumlah lebih RM23 juta disalurkan Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) menerusi Pejabat Pembangunan Negeri Melaka kepada kepada 463 pemohon Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI).
Timbalan Pengarah Pembangunan negeri, Afzai Nizam Sandiman berkata, berdasarkan rekod permohonan, sektor tertinggi yang menjadi pilihan adalah pertanian dan makanan, herba dan kesihatan selain pelancongan serta hospitaliti.
Mengulas lanjut Afzai Nizam berkata, geran berkenaan disalurkan kepada 422 Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR), Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Baharu (JPKKB), Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) serta persatuan taman.
“Sepanjang Mac hingga Oktober tahun ini, kita sudah luluskan geran bernilai RM23.693 juta bagi 463 permohonan selepas berpuas hati dengan kertas kerja dibentangkan dan memenuhi kriteria ditetapkan.
“Sebanyak 197 diluluskan untuk daerah Melaka Tengah dengan nilai geran berjumlah RM7.7 juta, sementara itu 138 permohon pula diluluskan bagi daerah Jasin, membabitkan nilai geran RM7.7 juta.
“Manakala, geran bernilai RM8.4 juta disalurkan untuk daerah Alor Gajah dengan jumlah 128 permohonan. Peruntukan geran ini difokuskan kepada lima sektor ditetapkan iaitu pertanian dan makanan, jahitan dan kraf tangan, herba dan kesihatan, pelancongan dan hospitaliti serta aktiviti hijau serta kitar semula,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Inap Desa Seri Percha yang disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machap Jaya, Datuk Ngwe Hee Sem, baru-baru ini.
Menurutnya, permohonan program SejaTi MADANI masih dibuka dengan nilai geran yang ditawarkan sehingga RM100,000 berdasarkan sektor tumpuan program ditetapkan.
“Permohonan masih dibuka, kita juga sedang dalam proses penilaian dan pertimbangan untuk kelulusan. Dana ini disediakan Kerajaan Persekutuan bagi mengupayakan komuniti melalui aktiviti sosioekonomi,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.