46 bekas penghuni penjara jalani Latihan Khas PSH
AYER KEROH 29 Mac – Seramai 46 bekas penghuni Penjara Sungai Udang menjalani Kursus Latihan Khas Program Pembelajaran Sepanjang Hayat anjuran Kolej Komuniti Bukit Beruang baru-baru ini.
Timbalan Pengarah Penjara Negeri, Penolong Kanan Komisioner (PKK) Norneelah Shukor berkata daripada jumlah itu, seramai 37 merupakan Orang Diparol (ODP), sembilan Orang Bebas Berlesen (OBB) serta enam wakil dari Persatuan Isteri, Anak-Anak Dan Anggota Wanita Penjara Malaysia (PERSIAP) mengikuti kursus terbabit.
Katanya, kursus Latihan Khas itu diadakan di Kolej Komuniti Bukit Beruang dan bertujuan untuk menyediakan pembelajaran sepanjang hayat dalam pembangunan komuniti bekas penghuni yang berpengetahuan.
“Kursus Latihan Khas ini lebih kepada kendalian makanan, cara membuat kuih-muih dan memasak.
“Selain dari mengendali makanan, kita juga mahukan bekas penghuni ini ada ilmu untuk tingkatkan kemahiran mereka selepas dibebaskan sepenuhnya kelak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Program tersebut telah dilaksanakan selama dua hari pada 20 dan 22 Mac lalu.
Mengulas lanjut, Norneelah berkata kursus terbabit turut menyediakan rangkaian strategik untuk pengukuhan aktiviti sosio ekonomi dalam kalangan masyarakat setempat.
“Selain dari pembelajaran sepanjang hayat, kursus ini juga menyediakan rangkaian sekiranya mereka (bekas penghuni) membuat makanan atau kuih, dan pihak kolej akan membantu untuk mencari pelanggan seumpamanya,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.