
45 KAKITANGAN PPSPM BERJAYA KHATAM AL-QURAN SEPANJANG RAMADAN
BANDARAYA MELAKA 30 Mac – Seramai 45 kakitangan Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) berjaya khatam al-Quran pada Ramadan tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif PPSPM, Shaharul Azuar Idris berkata, acara tahunan itu memperuntukkan bacaan al-Quran selama satu jam bermula 8.30 pagi hingga 9.30 pagi setiap hari sejak awal Ramadan lalu.
“Daripada 143 jumlah keseluruhan kakitangan PPSPM seramai 45 yang mengambil bahagian yang mana pecahannya 25 peserta wanita dan 20 peserta lelaki.
“Program ini kita laksanakan bertujuan untuk mengambil peluang memartabatkan kitab suci al-Quran di sepanjang bulan mulia Ramadan selama tempoh sebulan.
“Kita harap program baik ini dapat dilaksanakan pada tahun mendatang juga memandangkan sepanjang bulan puasa, operasi bot Melaka River Cruise (MRC) agak perlahan berbanding bulan lain,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Shaharul Azuar berkata, kesemua peserta terlibat telah diraikan pada Majlis Khatam Al-Quran PPSPM yang diadakan di Pejabat PPSPM Dataran Pengkalan Rama, baru-baru ini.
“PPSPM mengambil inisiatif meraikan mereka dengan pemberian senaskah al-Quran dan sejadah bersulam nama pengkhatam tanda kemenangan menghabiskan bacaan 30 Juzuk al-Quran,” jelasnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.