446 usahawan terima RM1,000 menerusi Dana Bantuan Kasih Niaga

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

AYER KEROH 7 Sept – Kerajaan negeri menyalurkan peruntukan Dana Bantuan Kasih Niaga berjumlah RM446,000 kepada 446 usahawan Melaka.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, peruntukan itu diluluskan menerusi pengumuman Belanjawan 2021 yang dibentangkan pada akhir tahun lalu yang keseluruhannya berjumlah RM1 juta.

Katanya, peruntukan itu diberikan bagi menyemarakkan budaya keusahawan dalam kalangan rakyat negeri Melaka supaya berdaya saing pada musim pandemik COVID-19.

SULAIMAN.

“Menerusi inisiatif ini kerajaan negeri telah menerima sebanyak 1,287 permohonan membabitkan 781 permohonan pada fasa satu dan selebihnya 506 pada fasa dua.

“Daripada jumlah permohonan diterima, sebanyak 446 permohonan dalam fasa satu diluluskan melibatkan peruntukan RM446,000 setakat Ogos lalu.

“Setiap individu mahupun syarikat diberikan sebanyak RM1,000 dan kelulusan permohonan mengikut daerah, Melaka Tengah sebanyak 115, Jasin (155), Alor Gajah (47) dan Masjid Tanah (129),” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan penyampaian replika cek Dana Bantuan Kasih Niaga di pejabatnya di Kompleks Seri Bendahara, di sini hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ts Kamel Mohamad dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Penternakan, Pembangunan, Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Norhizam Hassan Baktee.

SULAIMAN (dua dari kiri) menyerahkan replika cek kepada penerima, Tan Wen Seng (kanan) pada pelancaran Dana Bantuan Kasih Niaga di pejabatnya, di sini.

Menurut Sulaiman, sebahagian permohonan yang diluluskan telah diterima dan disalurkan ke dalam akaun penerima masing-masing.

“Manakala 554 lagi permohonan masih dalam pertimbangan dan akan diluluskan dalam masa terdekat.

“Permohonan yang masih dalam pertimbangan itu kemungkinan ada maklumat atau dokumen yang tidak lengkap.

“Justeru itu, kita minta usahawan terbabit mohon bersabar kerana kerajaan negeri sedang memperhalusi permohonan masing-masing dan apabila lengkap, kita akan menyalurkan terus ke dalam akaun penerima,” katanya.

Mengulas lanjut, Sulaiman berkata sekiranya ada permohonan baharu yang diterima, pihaknya akan meneliti semula kemampuan kewangan kerajaan negeri untuk meluluskan permohonan baharu itu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1056
Kongsi :
Previous post 45 penagih dadah ditahan di Pasir Panjang
Next post Tarikh baharu UPKK 2021 pada 15 hingga 18 November
Ubah saiz-+=